ALOR SETAR: Walaupun bertiga, wakil rakyat daripada blok pembangkang berazam untuk melaksanakan proses semak dan imbang sebaik mungkin sepanjang penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15.
Ketua Pembangkang baharu DUN Kedah, Bau Wong Bau Ek berkata, pihaknya akan memastikan isu-isu atau masalah rakyat akan dijadikan fokus utama untuk diangkat ke peringkat DUN.
Bagaimanapun, Bau Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam tidak menafikan mereka akan berhadapan dengan kekangan dan cabaran khususnya dalam membangkitkan isu-isu melibatkan kaum Melayu serta agama Islam.
“Macam kita lihat di (negeri) Perlis walaupun hanya ada seorang pembangkang sahaja, dia dapat melunaskan tanggungjawab dengan baik, (itu juga saya harap) di Kedah sebab kita ada tiga (ADUN).
“Saya juga rasa kita kena gunakan fakta dan info-info yang tepat untuk membahas, kalau cakap gaya kampung atau tiada fakta, itu akan menyusahkan kita balik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Kedah (Mesyuarat Belanjawan 2024), di sini hari ini.
Sebagai wakil rakyat pertama mewakili masyarakat Siam di DUN Kedah, Bau Wong turut mengakui berhadapan tekanan untuk melaksanakan tugasan itu, selain pertama kali menjadi wakil rakyat.
“Sudah pasti, saya jadi ketua pembangkang ini adalah yang pertama (dalam kalangan) bukan Melayu di Kedah, jadi tekanan adalah sikit. Ini kerana tumpuan (akan datang daripada) media dan pihak atasan, semua akan tumpu pada ketua pembangkang, jadi tekanan (ada) sikit tetapi macam mana pun kita akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong menyatakan, sidang DUN bagi penggal ini agak berbeza dengan sebelum ini memandangkan hanya diwakili tiga ADUN pembangkang berbanding 15 ADUN pada penggal sebelum ini.
“Memandangkan hanya tiga ADUN sahaja, kami akan terus menjadi platform untuk membawa suara rakyat setempat selain akan berusaha untuk jadi tempat semak dan imbang yang baik di DUN Kedah, ” katanya.
Selain Bau Wong dan Swee Leong, seorang lagi wakil rakyat pembangkang di Kedah adalah ADUN Bakar Arang, Loh Wei Chai. –UTUSAN