PETALING JAYA: Skuad bola sepak negara tidak seharusnya cepat mendabik dada dan memandang rendah keupayaan lawan, Taiwan dalam aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada 21 November ini.
Tonggak pertahanan Malaysia, Dion Cools mengingatkan rakan sepasukannya untuk tidak mudah berpuas hati selepas berjaya meraih tiga mata menentang Krygystan kerana hakikatnya banyak lagi aspek yang perlu dipertingkatkan menjelang perlawanan itu nanti.
Atas kertas, Malaysia kini berada 137 dunia dan dijangka meningkat, manakala Taiwan berada di kedudukan 152.
Begitupun Cools tidak merasakan itu satu kelebihan buat kem negara, kerana kali terakhir Malaysia berentap dengan Taiwan pada 2018 dalam aksi perlawanan persahabatan, skuad negara tumbang 0-2.
“Ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang wajib buat kami untuk mengutip tiga mata. Tiada guna kami mencapai kemenangan menentang Kyrgyzstan, dan kemudian seri atau kalah berdepan Taiwan, bagi saya ia akan menjadi satu tindakan bodoh. Kami lebih fokus dan bersedia untuk perlawanan itu nanti.
“Saya rasa kami perlu menjadi lebih padat dalam situasi yang tertentu, kami telah melakukan beberapa kesilapan sebelum ini, dan ada di antaranya kesilapan mudah, tetapi bagi saya adalah amat penting barisan pertahanan perlu menjadi lebih ampuh bagi memastikan gawang tidak dibolosi, dan ini adalah satu proses pengajaran,” kata Cools ketika sesi latihan terakhir di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya kelmarin sebelum berlepas ke Taiwan.
Tambah Cools, dia dan rakan sepasukannya tidak gentar untuk bertandang ke Stadium Municipal Taipei Selasa ini, kerana mereka sudah menunjukkan bahawa Harimau Malaya bukan sahaja mampu beraksi baik di laman sendiri, di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun mampu untuk mempamerkan aksi sama ketika beraksi di tempat lawan.
“Kami telah membuktikannya pada September lalu ketika beraksi di China yang kami mampu meraih keputusan yang baik menentang tuan rumah dan Syria. Bagi saya, saya tidak takut tentang perkara ini, kerana dalam perlawanan, ia akan menjadi pertarungan 11 orang pemain menentang 11 orang pemain.
“Saya mahu kami fokus tentang perlawanan, dan yakin untuk mengalahkan mereka, tetapi saya tahu ia tidak akan menjadi satu perlawanan yang mudah,” tambahnya.
Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di belakang Oman, dengan kedua pasukan berkongsi tiga mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan. – UTUSAN