Pelarian Palestin: 'Tunggu Kerajaan Pusat, ikut protokol'

Pelarian Palestin: ‘Tunggu keputusan Kerajaan Pusat, ikut protokol kalau hendak beri pandangan ‘

ABDUL KARIM RAHMAN HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bertegas agar apa-apa perkara berkenaan dengan penerimaan pelarian Palestin perlu ada keputusan dibuat oleh kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Jelasnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang prihatin tentang apa yang berlaku di dunia sejak bertahun-tahun lagi dan telah menunjukkan keprihatinan, serta perikemanusiaan.

“Kalau kerajaan pusat belum buat keputusan, tidak perlu beri pandangan terlebih dahulu. Tak perlu la kita terburu-buru buat keputusan.

“Malah, sebelum Kerajaan Pusat buat keputusan, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengatakan kita tidak mahu menerima (pelarian Palestin)…NGO ini mereka siapa..tunggu lah keputusan dibuat,” tegasnya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Publisiti dan Penerangan Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Peter John Jaban dan NGO lain yang menyarankan kerajaan supaya tidak menerima kemasukan pelarian dari Palestin.

Dalam pada itu, Abdul Karim juga menegaskan agar mana-mana Menteri dan orang kenamaan agar tidak terpengaruh dengan pandangan NGO yang tidak munasabah, sebaliknya mengikut protokol yang sedia ada.

“Kalau Kerajaan Pusat sudah buat keputusan, barulah kita beri pandangan. Menteri pun macam itu juga lah, tahulah protokol sedikit. Sedangkan mana-mana individu tu kita tahu NGO mana, pernah kah NGO tu menyokong kita?

“Mereka sebaliknya tidak pernah beri pandangan yang baik terhadap kita…bagi saya tidak perlu beri pandangan pada ketika ini, tunggu Perdana Menteri…tunggu keputusan kabinet,” ujar Abdul Karim.

Bagaimanapun, beliau beri jaminan bahawa Malaysia sentiasa bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa peperangan.

Baru-baru ini juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian NGO lain yang menyarankan kerajaan untuk tidak menerima kemungkinan kemasukan pelarian dari Palestin.

Walaupun begitu, Nanta tetap menunjukkan solidariti terhadap mangsa di Palestin dengan menyarankan orang ramai yang berkemampuan untuk menyumbang dari segi kewangan bagi membantu mangsa perang dengan membeli bekalan keperluan kepada mereka. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya