PETALING JAYA: Pelajar antara 4,086 individu terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Tapis pada 20 hingga 22 November lalu di seluruh negara.
Operasi dianggotai 1,909 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu menjalankan 4,564 pemeriksaan di kawasan-kawasan antaranya Felda, Penempatan Perumahan Rakyat (PPR), jeti, pasar dan taman rekreasi.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 14 hingga 70 tahun melibatkan 94 tokan; 1,928 penagih; 193 orang dikehendaki dan lain-lain kesalahan (1,871 orang).
“Dalam operasi ini, sebanyak 42 kilogram melibatkan 702 liter pelbagai jenis dadah dirampas dianggarkan bernilai RM708,925 antaranya heroin, syabu, ketamin serta ganja.
“Turut dirampas 6.88.79 liter air ketum, cecair MDMA (0.19 liter), ketamin (0.60 liyer) dan ganja seberat 5.19 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, jumlah dadah dirampas boleh digunakan oleh 86,255 orang penagih.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Kamarudin, pihak JSJN turut menyita pelbagai jenis aset dianggarkan bernilai RM336,894.
Jelas beliau, ia melibatkan wang tunai sebanyak RM25,019, kenderaan (RM128,400), barang kemas (RM8,975) dan jam tangan (RM40,400) dan kesemuanya nilai dadah dan harta dianggarkan bernilai RM1.04 juta.
“Sejak Januari hingga hari ini, seramai 18,972 individu ditahan melibatkan pelbagai kesalahan dadah manakala 2.97 tan serta 18,536 liter dadah dianggarkan bernilai RM24.9 juta dirampas.
“Mereka yang ditahan membabitkan 157 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), penagih (2,154 orang) dan orang dikehendaki seramai 1,028 orang.
“Turut ditahan 1,216 individu di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 serta lain-lain kesalahan iaitu 5,486 orang,” katanya.
Mohd. Kamarudin berkata, PDRM melalui JSJN akan terus membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Kita berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” ujarnya.-UTUSAN