Pindaan Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan

(PARLIMEN): Pindaan Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan diperhalusi

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), bagi menangani kes jenayah siber dengan lebih berkesan, seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah berkenaan. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pindaan dilakukan terhadap undang-undang tersebut. 

Bagaimanapun, katanya, kementerian perlu mendapatkan pandangan termasuk ulasan daripada pelbagai pihak khususnya Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Saya harus akui walaupun kerangka perundangan ketika ini memberi kuasa mencukupi kepada PDRM dalam menangani jenayah siber, namun teknologi maklumat dan komunikasi berkembang begitu cepat.

“Jadi, sentiasa wujud ruang dan keperluan untuk kita tambah baik kerangka perundangan diperlukan dari semasa ke semasa. Cadangan pindaan yang akan disyorkan perlu mendapat sokongan semua pihak. 

“Kerajaan juga mengadakan beberapa libat urus untuk mengambil maklum pandangan dalam usaha memastikan aspek perundangan dikemaskini dalam menangani kes jenayah siber,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib [PN-Parit] meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana pegawai PDRM dilengkapi kemahiran dan teknologi paling terkini termasuk kerangka perundangan bagi memberi kuasa mencukupi dalam usaha menangani jenayah siber.

Kata Shamsul Anuar, tahap kepakaran dalam kalangan anggota penguat kuasa dipertingkat dari semasa ke semasa, seiring peredaran zaman.

Katanya, pegawai PDRM dihantar menghadiri kursus berkaitan sama ada dalam ataupun di luar negara bagi mendapatkan pendedahan kerana teknologi serta perkembangan jenayah siber semakin berleluasa.

“Kementerian sedar, selaras perkembangan trend jenayah secara dalam talian semasa, kaedah penyiasatan juga semakin kompleks. Sebab itu PDRM dari semasa ke semasa melakukan penambahbaikan dan memperkasakan kemudahan terutama makmal forensik serta digital forensik sebagai peneraju dalam siasatan jenayah siber.

“Usaha ini menelan belanja besar, namun perlu dilakukan supaya jenayah ini dapat ditangani dengan baik, sekali gus dapat selamatkan rakyat negara ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN