Pantai Timur berisiko banjir besar hujung tahun

Pantai Timur berisiko banjir besar hujung tahun

KEADAAN di Kampung Cemperai, Dengkil yang dilanda banjir akibat paras Sungai Semenyih dan Sungai Langat yang meningkat melebihi paras ban sungai di Dengkil, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menjangka Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bakal mengalami banjir besar ekoran cuaca ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut JPS, banjir besar biasanya berlaku semasa musim MTL dengan banjir besar atau banjir monsun biasanya disebabkan limpahan air sungai akibat hujan lebat yang berterusan melebihi 6 jam dan air banjir lambat surut.

Selain itu, JPS menjangkakan antara negeri yang berpotensi berlaku banjir kilat adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

Banjir kilat sering terjadi terutama di kawasan-kawasan yang padat penduduk dan perubahan corak guna tanah di kawasan yang membangun selain hujan lebat dan sistem perparitan yang kurang baik menyebabkan banjir kilat sering berlaku.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh JPS, negara ketika ini masih dalam musim peralihan monsun sejak 24 September lalu dan dijangka tamat awal November sebelum bermula MTL.

Situasi semasa musim peralihan monsun adalah hujan ribut petir serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat pada waktu petang dan awal malam di negeri-negeri pantai barat, kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta di barat dan tengah Sarawak.

Dalam pada itu, negeri yang berpotensi berlaku air pasang adalah di Selangor (Klang, Port Klang, Pulau Carey), Pulau Pinang (Seberang Perai), Melaka (sekitar Sg.Melaka) dan Johor (Selat Tebrau, Selat Johor dan Batu Pahat) yang mana banjir air pasang biasanya terjadi disebabkan oleh air pasang surut yang tinggi dan cuaca buruk.

Berdasarkan unjuran hujan data JPS, dijangkakan purata jumlah hujan bulanan di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan meningkat lebih tinggi pada bulan November, Disember dan Januari berbanding dengan bulan-bulan lain.

Jumlah hujan yang tinggi boleh meningkatkan risiko banjir monsun kepada kawasan berhampiran dengan sungai dan kawasan yang rendah.

JPS melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) telah menempatkan petugas bagi operasi ramalan dan amaran banjir 24 jam secara syif bermula 1 November sehingga tamat Monsun Timur Laut.

Notis hebahan amaran banjir akan dikeluarkan seawal 2 hari ke hadapan kepada agensi pengurusan bencana dan penduduk berdasarkan maklumat model ramalan banjir.

Pada masa yang sama, kerja-kerja penyelenggaraan sungai termasuk melebarkan dan mendalamkan serta pengukuhan tebing sungai dan penyelenggaraan kolam takungan banjir akan dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi MTL di peringkat negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN