Pahang catat kadar tempoh penginapan hotel tertinggi

Pahang catat kadar tempoh penginapan hotel tertinggi

PENGUNJUNG membeli sayur dan buah-buahan di Kea Farm di Cameron Highlands, BARU-BARU ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang mencatatkan Kadar Purata Tempoh Penginapan Tertinggi di Malaysia (Malaysia Average Occupancy Rates of Hotels) dengan kadar 73 peratus sepanjang Januari hingga Jun lalu. 

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kadar itu dinilai berdasarkan rekod jumlah bilik penginapan berdaftar di negeri ini yang dianggarkan kira-kira 36,000 bilik.

Menurutnya, sumber tersebut diperoleh daripada Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia.

“Data yang diperoleh itu turut menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua dengan purata 57.3 peratus diikuti Wilayah Persekutuan Putrajaya di kedudukan ketiga dengan purata 54 peratus manakala kedudukan keempat ialah Pulau Pinang dengan purata 49.2 peratus.

“Ia disusuli dengan kedudukan kelima dan keenam iaitu Johor dan Selangor iaitu masing-masing dengan purata 47.5 peratus dan 47.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yu Man berkata, kadar  purata tempoh penginapan yang tertinggi yang diperoleh tersebut menunjukkan respon positif peningkatan kedatangan pelancong ke Pahang.

Jelasnya, sehingga September lalu, kedatangan pelancongan domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 9.04 juta orang pelancong. 

“Kita juga optimis bagi mencatatkan jumlah kedatangan pelancong pada tahun ini seperti mana sasaran yang ditetapkan iaitu sekitar 13 juta pelancong ke Pahang.

“Lima daerah di negeri ini menunjukkan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan iaitu Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin. 

“Destinasi-destinasi pelancongan yang berjaya menarik perhatian sekali gus menjadi tumpuan seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands dan bandar raya Kuantan yang sentiasa menunjukkan peningkatan kedatangan pelancong dari tahun ke tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN