KOTA BHARU: Kira-kira 50 keluarga yang tinggal di Kampung Dasar Sabak yang terletak berhampiran Pantai Sabak di sini tidak dapat tidur lena berikutan ombak kuat membadai di kawasan tersebut sejak Ahad lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain ombak, angin kencang dan air pasang besar turut berlaku di kawasan persisiran Pantai Sabak sehingga air laut memasuki rumah penduduk setinggi paras buku lali.
Seorang penduduk, Raja Mariam Raja Awang, 67, berkata, rumah yang didiaminya bersama keluarga terletak berhampiran benteng pemecah ombak.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia bersama tujuh yang lain termasuk anak, menantu dan cucu lebih berwaspada terutamanya pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
“Kami sekeluarga tidak dapat tidur lena ekoran ombak besar sering menghempas kawasan pantai dan benteng pemecah ombak.
“Bukan itu sahaja, angin kencang dan air pasang besar kerap berlaku di kawasan rumah kami sejak Ahad lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Raja Mariam memberitahu, keluarganya berpindah ke sebuah kem di Pengkalan Chepa selama tiga hari pada musim tengkujuh hujung tahun lalu berikutan air pasang besar dan masuk ke dalam rumah sehingga merosakkan beberapa peralatan perabot.
Katanya, sebanyak tiga rumah milik keluarganya dihanyutkan ombak ketika musim tengkujuh kira-kira 20 tahun lalu iaitu sebelum pembinaan benteng pemecah ombak dibina di kawasan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nor Hasan, 82, berkata, setakat ini, sudah dua kali air pasang besar berlaku pada waktu malam.
Bagaimanapun katanya, air kembali surut dan belum lagi tahap yang membimbangkan selepas dua jam.
“Saya dan lapan ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Peralatan elektrik terutamanya di bahagian dapur dialihkan ke tempat selamat. Situasi air pasang berlaku tanpa diduga sepanjang musim tengkujuh ketika ini,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak kecil. – UTUSAN









