Nurul Ain tunggu 'lampu hijau' tinggalkan Gaza

Nurul Ain tunggu ‘lampu hijau’ tinggalkan Gaza

Sebahagian daripada 2,000 mahasiswa UTM menyertai perarakan Pertahankan Palestin - UTM Bersama Palestin di UTM Skudai, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 500 daripada lebih 7,900 pemegang pasport asing yang berada di Semenanjung Gaza dibenarkan melintasi pintu sempadan Rafah menuju ke Mesir setiap hari secara berperingkat.

Daripada keseluruhan pemegang pasport asing tersebut, nama rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya Mohamed Adan Shaat, 33, turut dikemukakan kepada Badan Penyelarasan Aktiviti Kerajaan Israel di Wilayah (COGAT) untuk mendapatkan kebenaran meninggalkan Semenanjung Gaza.

Difahamkan, COGAT adalah sebuah badan penguatkuasaan Israel yang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Palestin untuk menyelaras pergerakan keluar pemegang pasport asing yang terkandas di Gaza akibat peperangan.

Memaklumkan kepada Mingguan Malaysia, Nurul Ain berkata, namanya sudah dikemukakan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir kepada pihak bertanggungjawab yang menentukan pergerakan keluar semua warga asing di Gaza.

“Sempadan Rafah sudah buka. Jadi daripada lain-lain negara termasuk Malaysia, keseluruhannya ada lebih 7,900 nama telah dihantar, tetapi sehari hanya 500 nama dibenarkan melintasi pintu sempadan.

“Saya difahamkan, pintu sempadan Rafah akan dibuka sampailah habis nama-nama tersebut keluar. Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, nama-nama pemegang pasport asing itu ditentukan oleh COGAT yang kemudiannya akan memaklumkannya kepada kedutaan masing-masing pada hari sama dibenarkan keluar meninggalkan Gaza.

“Setakat ini, pergerakan tersebut sudah pun berlangsung sejak tiga hari lalu, jadi saya dan suami hanya tunggu nama kami ada dalam senarai untuk keluar, mungkin esok, mungkin lusa atau mungkin tak tahu bila,” katanya.

Nurul Ain berkata, setakat ini pihak kedutaan masih belum memaklumkan mengenai kebenaran meninggalkan Gaza.

“Untuk hari ini saya tak pasti lagi sebab senarai belum keluar, jika nama saya dan suami tersenarai, pihak kedutaan akan memaklumkannya.

“Setakat ini pihak kedutaan Malaysia di Mesir memberikan kerjasama sangat baik dan sentiasa mengambil tahu mengenai perkembangan saya. Cuma itulah, saya sangat berharap dapat keluar (dari Gaza) secepat mungkin,” katanya.

Nurul Air yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan rakyat Palestin, Mohamed Adan dan menetap di UAE, namun pada 1 Oktober lalu beliau dan suaminya pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza selepas enam tahun melangsungkan pernikahan untuk bertemu keluarga mentuanya.

Bagaimanapun, pada 7 Oktober perang Palestin-Israel meletus sehingga mengakibatkan beliau dan suami terkandas di Khan Younis, Gaza sehingga hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×