KUALA LUMPUR: “Iya benar, saya berharap sangat esok (hari ini) buka dan dibenarkan keluar daripada Palestin bersama suami (Muhammad Adnan Shaat, 33).”
Itu harapan warga Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang kini terkandas di Khan Yunis disebabkan perang tercetus antara Palestin dan rejim Zionis.
Katanya, sudah dua hari pintu sempadan Rafah ditutup susulan serangan yang dilakukan oleh pihak Israel.
“Ada senarai untuk keluar (daripada Palestin) cuma mereka tutup sebab selagi tidak ada ambulans daripada Selatan Gaza yang dapat keluar dengan selamat maka selagi itu sempadan akan tutup untuk warga asing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Katanya, dia tekad keluar daripada Palestin bersama suaminya kerana apabila berada di luar, mereka akan dapat membantu lebih banyak berbanding terus berada di negara tersebut.
Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, berkahwin dengan Mohamed Adan yang juga merupakan rakyat Palestin, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan perkahwinan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis. – UTUSAN