KUALA LUMPUR: Rakyat di negara-negara Islam dijemput ke Xinjiang, China bagi menilai sendiri kebenaran berhubung kehidupan umat Islam di negara berkenaan.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, China merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Justeru, katanya, China mementingkan pemeliharaan dan pewarisan bahasa serta budaya semua kumpulan etnik.
“Sebagai contoh di Xinjiang, sebagai contoh, yang merupakan salah satu penempatan utama bagi Cina Muslim, kerajaan China amat mementingkan pembangunan dan pembinaan Xinjiang, memastikan semua kumpulan etnik di Xinjiang menikmati hak mereka terhadap kepercayaan agama, budaya etnik, bahasa dan pekerjaan.
“Semua kumpulan etnik tanpa mengira penduduk mereka mempunyai status undang-undang yang sama dan menikmati pelbagai hak mengikut undang-undang termasuk penyertaan dalam pengurusan hal ehwal negara, kebebasan beragama, menerima pendidikan, menggunakan bahasa mereka sendiri dan memelihara tradisi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dialog Islam-Konfusianisme 2023 di sebuah hotel, di sini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada umat Islam di China terutamanya di Xinjiang yang dikatakan dianiaya yang kerap digembar-gemburkan oleh media barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdahulu, Yujing berkata, kedua-dua tamadun China dan Islam adalah tamadun purba yang mempunyai pengaruh yang ketara di peringkat global.
Oleh itu, katanya, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab penting untuk mempromosikan kemajuan tamadun manusia dan menjalin konsensus antarabangsa dalam menjamin keamanan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (memainkan peranan) sejak dahulu lagi dalam mempromosikan dialog antara Islam dan Konfusianisme.
“(Ini kerana) Perdana Menteri menekankan kepentingan dialog Islam- Konfusianisme dalam pelbagai platform,” katanya. -UTUSAN