PETALING JAYA: Terkesan dengan situasi konflik di Palestin, Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (iKAF) melalui Misi Kemanusiaan Insani 4 Palestine (i4P) akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza menerusi Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dalam masa terdekat.
Kumpulan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya tiba di Kaherah, Mesir sejak 13 November lalu bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang turut merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan dan keperluan musim sejuk.
Semalam, kumpulan tujuh sukarelawan itu bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif ERC Mesir, Dr. Ramy El Nazer di Ibu Pejabat ERC di Kaherah bagi membincangkan bantuan diperlukan oleh rakyat Palestin di Gaza ketika perang masih berlanjutan di wilayah tersebut.
Menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, Fathul Bari berkata, proses pembelian barangan bantuan itu akan dilakukan di Kaherah sebelum dihantar ke Gaza melalui Lintasan Rafah.
“Kita mensasarkan bantuan perubatan dan bantuan spesifik untuk kanak-kanak yang kita cuba dapatkan dengan kerjasama ERC.
“Kerjasama penuh Dr. Ramy untuk membantu mendapatkan barangan tersebut dan InsyaAllah petang ini, kami akan dapatkan senarai penuh barangan yang sangat-sangat diperlukan.
“Semua barang bantuan tersebut akan dikumpul dalam tempoh dua hari dan kita akan buat penghantaran ke sempadan Rafah… InsyaAllah,” katanya.
Sementara itu, Dr. Ramy turut menyatakan kesediaan ERC untuk memberikan kerjasama penuh kepada NGO tersebut.
ERC merupakan satu-satunya organisasi yang diberikan mandat oleh Kerajaan Mesir untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada warga Palestin di Gaza melalui sempadan Rafah.
Semalam, pasukan sukarelawan i4P turut mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail di Kaherah untuk memaklumkan mengenai perancangan dan perjalanan misi kemanusiaan tersebut.
Misi i4P dijadualkan menghantar bantuan kecemasan itu hingga ke sempadan Rafah atau Ismailiya pada Jumaat ini dengan kerjasama ERC Mesir. – UTUSAN