PETALING JAYA: “Ada yang cakap, tak mungkin kami boleh ganti senario. Jangan risau, kami sedar diri. Nak setaraf Senario? Jauh panggang dari api.”
Demikian jawapan pempengaruh, Ryan Bakery selepas dikecam segelintir warganet berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengakui kumpulan lawak legenda, Senario adalah idola dan rujukannya.
Kongsi Ryan, dia ada membaca komen berbentuk kecaman tersebut dan terkejut kerana pemahaman segelintir warganet jauh berbeza daripada maksud kenyataannya berkaitan Senario.
“Memang saya ada cakap, Senario adalah idola. Ramai pula yang kecam cakap kami takkan boleh jadi seperti kumpulan legenda itu. Saya terkejut juga. Pemahaman mereka itu salah.
“Kami suka dan menjadikan Senario sebagai inspirasi dalam berkarya. Mereka selalu tampil dengan naskhah yang dekat dengan masyarakat, Itu yang kami mahu contohi.
“Kalau nak jadi macam mereka itu, tidak mungkin. Mereka kumpulan legenda yang tidak ada galang gantinya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Ryan yang bergandingan dengan adiknya, Adam Bakery mempersembahan medley lagu-lagu Senairo untuk persembahan minggu kelima dalam Famili Duo musim ketiga yang berlangsung semalam.
Malah, mereka yang meraih kedudukan kedua semalam turut menampilkan anggota Senario, Azlee dan Yassin sebagai tetamu jemputan dalam persembahan bertemakan Idola dan Legenda itu.
Dalam pada itu, biarpun terkenal dengan video-video pendek di TikTok, Ryan turut berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem pendek yang mengangkat kisah-kisah masyarakat.
“Saya nak hasilkan karya yang dekat dengan budaya dan kehidupan masyarakat kita. Kisah-kisah rakyat yang bila orang tonton, mereka akan terimbau dengan sejarah waktu kecil.
“Kami juga suka dengan lagu-lagu rakyat. Mana yang boleh kita contohi, kita ambil dan ikut,” ujarnya.-UTUSAN