PETALING JAYA: Yayasan MyAQSA (MyAQSA) menghantar petisyen yang merangkumi lima bukti kekejaman rejim zionis sejak 7 Oktober lalu bagi mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda, kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurusnya, Mohd. Norazman Mohd. Arif berkata, delegasi yang diketuai Pengerusi MyAQSA, Suwardi Yaacob dan Pengerusi Pasukan Perundangan MyAQSA, Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohammad sudah mengemukakan lima bukti kekejaman rejim Zionis di dalam petisyen tersebut.
“MyAQSA membawa maklumat penting termasuk bukti ke pejabat pendakwa mengenai jenayah yang dilakukan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Gaza, Palestin dengan peruntukan Undang-Undang Perkara 15, Perenggan 1 dan Perkara 53, Perenggan 1 Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Antara bukti-bukti yang dibawa MyAQSA ialah serangan dan pengeboman Sekolah Al-Fakhoura di Jabalya pada 4 November 2023; Hospital Al-Ahli Baptist (17 Oktober 2023); Hospital Al-Quds (21 Oktober 2023); Hospital Indonesia (3 November 2023) dan Hospital Al-Shifa pada 14 November lalu,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu akhbar melaporkan, MyAQSA sudah bersedia dengan bukti-bukti terkini kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza untuk dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
Pasukan undang-undang MyAQSA akan bertemu secara peribadi dengan pendakwa raya ICC di The Hague berhubung penyediaan bukti- bukti itu, dengan harapan satu tindakan segera boleh diambil.
Usaha MyAQSA mendapat sokongan pelbagai pihak itu setelah melihat keangkuhan Israel yang tidak mahu menghentikan serangan terhadap penduduk Palestin walaupun didesak pelbagai pihak.
Mohd. Norazman berkata, bukti-bukti itu berdasarkan kepada peningkatan permusuhan dan keganasan yang berterusan oleh anggota tentera Israel di Gaza Palestin di bawah pentadbiran dan perintah Benjamin Netanyahu.
“Benjamin Netanyahu dirujuk sebagai orang tertuduh dan pihak MyAQSA sebagai seseorang yang membantu mahkamah dengan memberikan maklumat atau nasihat berkenaan persoalan undang-undang atau fakta kepada ICC.
“Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Netanyahu di Gaza, termasuk siri serangan ke atas hospital, pekan, kediaman, kampung, sekolah dan kem pelarian adalah jenayah pembunuhan beramai-ramai.
“Serangan ini juga merupakan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang yang berada dalam bidang kuasa ICC di bawah Rom,” katanya.
Menurut Mohd. Norazman, berdasarkan maklumat dan bukti seperti yang dikemukakan dalam dokumen, ia memberikan asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa jenayah genosid, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang telah dan sedang dilakukan di Gaza oleh Israel.
“MyAQSA meminta pejabat pendakwa raya melaksanakan kuasanya untuk meminta pengeluaran waran tangkap dan terus mendakwa Orang Tertuduh atas dakwaan jenayah yang dilakukan menurut Perkara 61 Statut Rom.
“Sebagai alternatif untuk memulakan siasatan lanjut mengenai maklumat dan bukti yang dikemukakan menurut Artikel 15 dan 53 Statut Rom, supaya orang yang dituduh boleh disabitkan kesalahan dan dipertanggungjawab atas dakwaan jenayah yang dilakukan,” katanya. – UTUSAN










