MRSM untuk semua, bukan B40 sahaja

MRSM untuk semua, bukan B40 sahaja

Kepelbagaian latar belakang pelajar MRSM mampu memupuk nilai-nilai positif dalam pergaulan untuk saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan mengikis rasa rendah diri mahupun sombong dalam kalangan pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak pernah mewujudkan dasar yang menyatakan hanya pelajar daripada golongan miskin boleh memasuki institusi itu sejak ia ditubuhkan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar agensi itu adalah menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM dalam kalangan B40 dan selebihnya mereka yang layak dalam kalangan M40 serta T20.

ASYRAF WAJDI DUSUKI

Kata beliau, sejak awal penubuhan MRSM lagi, peluang untuk anak-anak golongan VIP yang layak masuk ke institusi tersebut tidak pernah ditutup.

“Bahkan anak Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara).

“MRSM tidak pernah lari daripada tujuan penubuhannya iaitu melahirkan generasi pelajar yang holistik dalam kalangan bumiputera yang cemerlang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pada masa sama mempunya kepribadian yang seimbang berteraskan nilai, adab 0dan akhlak Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan sesete­ngah pihak yang mendakwa MRSM sepatutnya hanya untuk anak kalangan B40, mahu maktab itu kembali kepada tujuan asalnya iaitu membantu anak orang miskin bukannya M40 atau T20 serta mempertikaikan pengambilan anak orang kenamaan dan T20.

Asyraf Wajdi berkata, kepelbagaian latar belakang pelajar MRSM mampu memupuk nilai-nilai positif dalam pergaulan untuk saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan mengikis rasa rendah diri mahupun sombong dalam kalangan pelajar.

Jelasnya, ia merupakan persiapan untuk pelajar hidup dalam dunia rea­liti yang hakikatnya terdiri daripada masyarakat pelbagai status ekonomi.

“Lazimnya ibu bapa dalam kalangan M40 dan T20 yang banyak membantu Persatuan Muafakat atau PIBG dalam pelbagai aktiviti dan pendanaan tambahan yang diperlukan untuk program pembangunan pelajar.

“Cuba bayangkan jika semuanya dari­pada B40, siapakah yang boleh membantu persatuan tersebut dan me­laksanakan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM,” soalnya.

Tambahnya, M40 menurut tafsiran kerajaan adalah mereka yang berpendapatan isi rumah antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Tidak semestinya mereka yang berpendapatan RM5,000 dengan anak lebih daripada tiga orang yang menetap di bandar besar itu semuanya senang. Justeru, tidak adil secara mutlak menafikan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN