Mokyah bangga biarpun diberi nama Alias Ali - Utusan Malaysia

Mokyah bangga biarpun diberi nama Alias Ali

ALIAS Ali menunjukkan kad pengenalannya yang tertera nama yang sinonim dengan lelaki, Alias Binti Ali di Kampung Cheting, Hulu Terengganu, semalam. – MINGGUAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Nama ­Alias Ali lazimnya sinonim dalam kalangan lelaki Melayu di negara ini, namun lain kisahnya di Kampung Cheting, dekat sini, apabila pemilik nama itu merupakan seorang wanita.

Menurut moyang dua cicit berusia 69 tahun itu, gara-gara namanya seperti orang lelaki, ramai tersalah sangka dengan jantinanya terutama ketika berurusan di pejabat serta ketika mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Berkongsi cerita, Alias yang mesra dipanggil Mokyah berkata, proses pendaftaran nama dilakukan datuknya di balai polis kerana ketika itu bapanya cedera terkena kapak sewaktu menebang pokok.

“Orang dulu-dulu bersalin di rumah sahaja, beberapa hari selepas dilahirkan, datuk yang mempunyai masalah pende­ngaran menguruskan daftar kelahiran.

“Sehingga kini tiada jawapan mengapa nama Alias ke­rana itu nama lelaki. Mungkin datuk terlupa jantina saya atau tidak dengar jelas soalan di­tanya, nama ini diberi oleh polis yang bertugas.

“Pernah juga ada usaha untuk menukar nama Alias kepada Kamariah tetapi banyak prosedur, tambah pula waktu dulu untuk ke sesuatu tempat bukannya mudah kerana tiada kenderaan serta jalan raya.

“Mak ayah akhirnya terpaksa berlapang dada. Saya anak ketiga daripada empat beradik, nama yang lain ialah Zainun, Mohd. Yusoff serta Mahmud dan nama-nama itu sinonim dengan jantina,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.

Tambah Alias yang punyai lima anak dan 13 cucu, ketika zaman kanak-kanak serta remaja ada segelintir yang bergurau kerana namanya tetapi ia tidak pernah ambil hati sebaliknya anggap semua itu gurauan.

Katanya, dia yang telah kematian suami hampir 20 tahun lalu akibat angin ahmar tetap merasa bangga pada dirinya dan menganggap nama lelaki diberikan padanya itu satu keunikan tersendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN