Mengapa Muhyiddin, Abdul Hadi senyap dakwaan ekstrem?

Mengapa Muhyiddin, Abdul Hadi senyap dakwaan ekstrem? – Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dipersoal selepas didakwa terus ‘berdiam diri’ berhubung dakwaan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad yang disifatkan ekstrem.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu menyatakan pendirian mereka selepas beliau didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng oleh Siti Mastura.

Katanya, ini kerana dakwaan yang dilemparkan menerusi klip video itu jelas satu fitnah jahat yang berbaur perkauman dan ekstremis.

“Adakah mereka izinkan fitnah jahat ini dilemparkan? Adakah ini politik sihat? Guna fitnah untuk memecahbelahkan rakyat demi kuasa? Adakah mereka setuju dengan apa dia (Siti Mastura) cakap dan kalau mereka setuju kena arahkan dia tunjuk bukti.

“Saya lihat ketika ini kedua-dua mereka masih senyap. Kalau mereka terus diam macam ini, itu menunjukkan parti itu restu apa yang disebut.

“Kalau mereka setuju, mesti arahkan (Siti Mastura) tunjuk bukti. Kalau tidak setuju, maka mereka kena tegur sesama mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu Guan Eng dalam satu kenyataan memberitahu, beliau memulakan tindakan undang-undang selepas Siti Mastura gagal mengemukakan bukti, menarik balik ucapan atau memohon maaf dalam tempoh 48 jam sebelum ini.

Menurutnya, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Katanya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda PAS pada 4 November lepas yang diselitkan dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat.

Mengulas lanjut, Guan Eng mengharapkan Pas dapat menolak permainan politik kotor ini terutamanya ucapan berunsur benci yang menimbulkan rasa marah dalam kalangan Melayu.

“Apabila saya pergi lobi Parlimen, mereka (ahli Parlimen pembangkang) pun rasa agak kekok (dengan saya). Nampaknya mereka pun tahu (ucapan itu berniat) jahat kerana katakan kalau orang cakap (Chin Peng) sepupu saya pun marah, itu apa mereka cakap (kepada saya).

“Saya harap Pas dan Pengerusi PN kena jawab setuju atau tidak (dengan ucapan Siti Mastura). Kalau setuju kena arahkan tunjuk bukti. Kalau tidak setuju mesti bertanggungjawab hentikan fitnah ini,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Siti Mastura bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang diambil Guan Eng gagal selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon dan juga mesej melalui WhatsApp. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×