PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan lokasi dua individu termasuk menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghilangkan diri sejak Mei lalu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sehingga kini, mereka iaitu menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Muhammad Adlan Berhan, 48, dan seorang lagi lelaki iaitu Mansoor Saat, 69, belum tampil membantu siasatan SPRM.
“Difahamkan, SPRM masih menunggu PDRM uruskan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya secara ringkas.
Pada Oktober lalu, PDRM menyerahkan dokumen diperlukan kepada Interpol, untuk permohonan Notis Merah terhadap kedua-dua individu berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya menerima dokumen itu daripada SPRM sebelum dimajukan kepada Interpol.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beberapa dokumen diperlukan, termasuk draf pertuduhan kes, membabitkan dua individu berkenaan telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tindakan memanggil Muhammad Adlan adalah kali pertama dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Keterangan Mansoor pula telah diambil sebelum ini namun dia dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan.
Difahamkan, kedua-dua individu itu dalam proses untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes yang sedang disiasat sebelum ini.
Muhamad Adlan dikatakan akan menyelesaikan urusan kerja tersebut dalam tempoh beberapa minggu selepas dia keluar meninggalkan Malaysia pada 17 Mei lalu.
Namun, sejak tarikh tersebut dia terus memberi alasan-alasan tertentu dan tidak juga kembali ke tanah air.
Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.-UTUSAN










