PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sedia mempertimbang kadar kenaikan cukai harta yang dicadangkan naik antara 40 sehingga 50 peratus bermula tahun depan.
Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad menggesa pemilik harta di Pasir Gudang hendaklah mengemukakan bantahan secara bertulis sehingga Selasa ini, sebelum mesyuarat khas diadakan bagi membincang dan memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima bantahan secara rasmi sebanyak 1,300 pemegang harta sahaja keseluruhan 98,490 individu.
“Ketika sesi libat membabitkan ahli majlis di zon masing-masing, ramai pemegang harta yang menyuarakan bantahan namun ia dibuat secara lisan sahaja. Justeru, kita sarankan mereka membuat bantahan secara formal.
“Kita cadangkan kenaikan 20 peratus setahun dalam tempoh lima tahun ini. Umum sedia maklum bahawa, kali terakhir cukai harta dinaikkan di Johor adalah pada 2013.
“Secara amalannya, cukai ini sepatutnya disemak semula setiap lima tahun, namun pada 2018 ianya tidak berlaku atas sebab-sebab tertentu. Pada tahun ini, ia disemak semula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MBPG, Menara Aqabah, di sini hari ini.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan MBPG untuk menaikkan cukai pintu sehingga kira-kira 40 peratus yang bermula tahun depan.
Hassan menegaskan, tindakan itu akan membuatkan rakyat di daerah ini bertambah marah malah semakin beban selepas MBPG memutuskan untuk menguat kuasa tidakan saman kenderaan diparkir di luar pagar rumah juga pada tahun depan. – UTUSAN











