PETALING JAYA: Malaysia meminta bantuan dan sokongan China untuk mempermudahkan usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Myanmar selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan Naib Premier China, Liu Guozhong, semalam.
Menurut beliau, pihak China memberikan komitmen untuk membantu Malaysia.
“Saya turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China, Yu Jianhua.
“Di peringkat pegawai akan memperincikan bagaimana proses bagi membawa mereka keluar dari Myanmar melalui negara tembok besar itu dapat dilaksanakan. Wakil kita akan buat follow up bagaimana kita akan mempermudahkan kaedahnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, isu itu dibangkitakan selepas terdapat puluhan atau ratusan kes penipuan pekerjaan membabitkan rakyat Malaysia di Myanmar.
“Apabila terbabit dengan jenayah scam ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan, maka, kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka pulang,” katanya.
Fadillah ketika ini mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke China, bermula 12 November lepas hingga Ahad ini. -UTUSAN










