KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 25,000 tenaga pekerja di dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025.
Keperluan itu susulan daripada hasrat kerajaan yang mahu menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dan pengukuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) selaku agensi peneraju keselamatan siber negara dan agensi penguatkuasa RUU ini nanti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah tenaga kerja dalam bidang siber masih belum dapat dicapai apabila dianggarkan terdapat hanya 13,000 pekerja sahaja di pasaran.
Justeru, katanya, kerajaan memandang serius keperluan untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti dan bilangan profesional serta tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber bagi melengkapkan ekosistem keselamatan siber negara.
“Bagi menangani kekurangan 12,000 pekerja yang diperlukan, kerjasama antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri amat kritikal.
“Kekurangan pekerja berkemahiran dalam bidang keselamatan siber menunjukkan bahawa inisiatif kerajaan tidak akan dapat menangani sepenuhnya isu ancaman siber dengan berkesan, sekiranya tiada keupayaan, kesedaran, disiplin dan kerjasama dari semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan Program Pembangunan Kapasiti Dan Sesi Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2023 hari ini.
Pada masa sama, beliau menyambut baik inisiatif melalui kerjasama strategik antara NACSA, institusi pengajian tinggi dan pemain industri dalam usaha menambah baik dan menyegerakan kesediaan, keupayaan dan kecekapan keselamatan siber di Malaysia.
Katanya, inisiatif ini didukung melalui sumbangan biasiswa bernilai RM5 juta oleh Majlis Suruhanjaya Eropah (European Commission) kepada NACSA bagi membantu mempertingkat keupayaan dan keberkesanan keselamatan siber negara.
“Sebanyak 2,000 rakyat Malaysia akan memperoleh manfaat daripada biasiswa ini melalui kursus-kursus keselamatan siber bertaraf antarabangsa, serta penempatan pegawai dan penyelidik di NACSA.
“Saya yakin perkara seperti ini secara tidak langsung dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan kapasiti keselamatan siber di Malaysia,” katanya.-UTUSAN