PETALING JAYA: Malaysia masih lagi memiliki kedudukan strategik serta mempunyai daya penarik untuk menarik pelabur asing dari Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) walaupun tegas menyatakan sokongan kepada Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob percaya, sokongan terhadap Palestin tidak memberi kaitan secara langsung dengan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
Atas sebab itu katanya, negara berjaya meraih komitmen pelaburan sebanyak RM63.02 bilion daripada syarikat gergasi teknologi di AS.
“Jika dilihat sekarang ini, keadaan ekonomi dan politik sudah berbeza dengan 10 tahun lepas. Walaupun berlaku pertempuran yang hebat antara Israel dan Palestin, kita lihat penduduk sama ada di sebelah Barat atau Timur sudah terbuka menyokong Palestin.
“Selain itu, Malaysia memang strategik untuk FDI.
“Kita mempunyai pekerja yang paling berpengetahuan dan berpendidikan jika hendak dibandingkan dengan negara-negara sedang membangun yang lain.
“Kita juga ada sumber asli seperti minyak petrol, kelapa sawit dan getah. Kita juga ada kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan serta dasar cukai yang mesra pelabur.
“Semua ini menjadi satu daya tarikan. Walaupun pada zahirnya kerajaan menyokong Palestin, jadi, pelabur memahami itu dari segi ideologi kerana Islam adalah agama rasmi negara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, daripada jumlah RM63.02 bilion tersebut, sebanyak RM8.33 bilion adalah daripada misi perdagangan dan pelaburan ke AS yang dianjur sebelum bermula Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco.
Menurut beliau, pelaburan selebihnya adalah daripada mesyuarat bersemuka yang diadakan dengan wakil-wakil syarikat gergasi sepanjang tempoh menghadiri sidang APEC
Mengulas lanjut, Abu Sofian bagaimanapun berkata, jumlah kira-kira RM63 bilion itu merupakan satu pelaburan dalam tempoh jangka masa panjang dan bukannya pada satu-satu masa.
Katanya, ini kerana pelaburan kebiasaannya mengambil masa lama dan selalunya antara tempoh lima hingga 15 tahun.
“Jadi, bukan sekali melabur banyak itu, tentunya mereka menyediakan modal untuk menyediakan pelaburan,” katanya. – UTUSAN