Lelaki didakwa rogol, amang seksual fizikal remaja 14 tahun - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa rogol, amang seksual fizikal remaja 14 tahun

MOHAMAD Kasim Abdul Wahab (tengah) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Mac lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Kasim Abdul Wahab, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di tepi Sungai Kenering, Kampung Belum Baru Lawin, Gerik pada pukul 1 petang, 27 Mac 2023.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang bekerja kampung itu turut didakwa bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang masih bujang itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kacau ganggu ekoran lelaki itu tinggal berjiran dengan mangsa.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya memohon wang jaminan tinggi dengan dua penjamin beserta syarat tambahan, lelaki itu tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Sementara itu, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin yang mewakili Mohamad Kasim memohon tertuduh diikat jamin kerana mangsa dalam kes itu, kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan

Sehubungan itu katanya, jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dipohon bagi ketiga-tiga pertuduhan kerana tertuduh yang mempunyai pendapatan RM800 sebulan itu perlu menanggung ibu berusia 77 tahun yang kini sakit tua.

“Tertuduh hari ini akan dijamin oleh ahli keluarganya dan dia juga akur dengan syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan di mana seorang daripadanya mesti dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan di mana tertuduh dan ahli keluarganya dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN