MUKADIMAH
Pemenang dua kali pingat emas Sukan SEA bagi acara tarian break dance, Sam Lee Jek atau lebih mesra dengan panggilan Lego Sam sedang melebarkan sayapnya untuk mencuba nasib dalam kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Meskipun mengakui kedudukannya di No.83 dalam ranking dunia menyukarkan potensinya untuk meraih tempat dalam temasya empat tahun sekali itu, namun atlet berusia 24 tahun ini sedikit pun tidak berputus asa menyertai sembilan kejohanan kelayakan termasuk Kejohanan Dunia 2023 yang diadakan di Belgium, dua minggu lalu.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, Nor Liyana Tarmizi, kita telusuri sisi peribadi menarik atlet yang bercita-cita membawa nama Malaysia dan sukan tarian dalam Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Bila anda mula menari dan boleh ceritakan proses perjalanan menjadi atlet?
Saya bermula pada usia 13 tahun, semasa itu terpengaruh dengan video klip ‘boy band’ Taiwan, ENERGY yang memaparkan pergerakan bboy. Saya cuba ikut sehinggalah rakan sekelas cadangkan untuk saya ambil kelas tarian. Sejak dari itu, saya telah bertanding di pelbagai peringkat antarabangsa.
Bagaimana penerimaan ibu bapa selepas mengetahui anda mahu menjadikan minat ini sebagai kerjaya tetap?
Pada mulanya mereka tidak begitu menyokong minat ini, mungkin kerana di Malaysia pada ketika itu untuk teruskan kerjaya sepenuh masa dalam bidang tarian tidak menjanjikan kestabilan kewangan dan masa depan pun tidak begitu cerah. Bagaimanapun saya berjaya buktikan sangkaan itu salah kerana sekarang semakin ramai penari di negara ini.
Idola anda?
Saya tidak ada idola tertentu, tetapi mana-mana penari bboy yang teratas sekarang, merekalah yang banyak beri inspirasi kepada saya.
Perancangan masa depan, ada terfikir mahu membuka akademi sendiri?
Membuka akademi tarian memang sentiasa ada dalam perancangan masa depan saya. Namun untuk sekarang, sementara saya masih boleh bertanding, saya mahu tumpu sepenuh perhatian kepada seberapa jauh saya boleh pergi di peringkat antarabangsa. Saya mungkin akan buka akademi apabila hampir bersara nanti
Di mana anda selalu berlatih?
Mencari tempat untuk berlatih selalu menjadi cabaran besar untuk saya sebab saya memang tiada lokasi khusus. Sebenarnya saya berlatih di Sekolah Antarabangsa Sri Emas pada Selasa dan Khamis dan tempat lain pula saya berlatih di dalam kawasan MRT Taman Mutiara.
Sukan lain yang anda suka main?
Badminton atau berenang.
Pernah alami kecederaan atau apa-apa kenangan pahit yang suka dilupakan?
Kenangan paling mencabar dan sukar dilupakan adalah semasa saya patah tangan kiri pada 14 tahun dan belakang saya terkehel pada usia 16 tahun. Saya bersusah payah kerana perlu berfikir sama ada mahu teruskan minat ini atau tidak. Saya akhirnya masih menjadi penari namun kecederaan itu juga masih beri kesan sehingga sekarang.
Makanan dan minuman kegemaran?
Saya suka apa-apa makanan selagi ada ayam, untuk minuman pula saya suka barli atau cincau.
Apa yang anda lakukan sebelum bertanding untuk hilangkan rasa gementar?
Saya akan cari tempat yang agak sunyi untuk tenangkan diri. Sejujurnya, setiap kali sebelum melangkah ke pentas, saya sangat gemuruh, itu tidak dinafikan, tetapi saya ‘JUST LET IT GO!’
Gaya pakaian yang digemari?
Semestinya streetwear sebab gaya ini lebih kena dengan jenama diri saya sebagai LEGOSAM. – UTUSAN










