KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka meraih lebih banyak sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, sokongan itu perlu disambut dengan baik oleh pihak kerajaan.
“Kita berpandangan bukan hanya empat orang (ahli Parlimen) ini sahaja tetapi kita menjangka mungkin lebih daripada itu yang akan memberikan dukungan kepada Perdana Menteri.
“Kita mesti bersangka baik dalam dukungan yang diberikan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan empat ahli Parlimen pembangkang bertindak menyokong Anwar sejak beberapa minggu lalu.
Zahari Kechik merupakan ahli Parlimen pembangkang terbaru yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mohd. Aziz Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). – UTUSAN