KUALA LUMPUR: Lebih 100 pengamal media berkumpul di Dataran Merdeka di sini semalam bagi menunjukkan sokongan terhadap wartawan di Gaza yang bertaruh nyawa menyampaikan maklumat mengenai kekejaman rejim Zionis Israel di Palestin.
Program media tempatan berkumpulan itu dalam Save Press 4 Gaza (SP4G) disertai 25 kelab Media Malaysia antaranya National Union Journalist (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), Crime Journalist Association (CIJA) dan Foreign Correspondents Club Malaysia yang memenuhi Dataran seawal pukul 11 pagi.
Jurucakap SP4G, Sarien Nafis berkata, lebih daripada 40 pengamal media terkorban akibat tindakan terkutuk Israel di Gaza dalam tempoh enam minggu.
Kata beliau,keluarga mereka turut menjadi sasaran Israel dengan dibom dan dibunuh kejam sebagai tanda amaran kepada pengamal media agar tidak menyebarkan kebenaran yang berlaku.
“Jadi kami sebulat suara berdiri di sini untuk mengecam tindakan kejam Israel ke atas pengamal-pengamal media di Gaza, keluarga mereka serta seluruh anak-anak kecil dan penduduk Palestin yang tidak berdosa.
“Kami menggesa pengamal media seluruh dunia bangkit bersuara menentang keganasan Israel dan menunjukkan sokongan kepada media di Gaza yg perjuangan mereka tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam
Dalam pada itu, kata beliau, Media Malaysia menyokong penuh dan ingin meniup semangat kepada pengamal media di sana untuk terus membuat liputan bagi menyebarkan kebenaran kepada dunia.
Beliau turut menggesa agar media barat menyampaikan berita yang benar dan tepat mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Tugas media adalah untuk menyampaikan cerita yang betul bukan penipuan dengan pelbagai propaganda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Sameer Allawi, 57, berkata, ramai rakan sekerjanya sama ada wartawan, youtuber dan penulis blog yang berada di Gaza hilang ahli keluarga mereka.
“Ada antara mereka kehilangan 16 ahli keluarga sekali gus. Mereka turut diugut dan diberi amaran semasa menjalankan tugas apa yang berlaku di Gaza. Bukan sahaja berdepan ugutan, malah mereka terpaksa berpindah rumah serta ahli keluarga dibunuh,” katanya.
Beliau yang juga warga Palestin berkata, wartawan Barat yang membuat laporan di Gaza tidak sepatutnya hanya melaporkan propaganda rejim Zionis.
“Apa yang dipaparkan mereka tidak mencerminkan keseluruhan apa yang berlaku. Meskipun keluarga kecil saya mengikuti saya tinggal di Malaysia sejak 12 tahun lalu, saya ada lagi keluarga besar di sana.
“Pastinya saya bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap mereka kekal selamat,” katanya. –UTUSAN