Kos Stadium Shah Alam naik RM3.28 bilion - Utusan Malaysia

Kos Stadium Shah Alam naik RM3.28 bilion

Stadium Shah Alam
MOHAMED Azmin Ali berucap dalam sidang akhbar selepas perbahasan Belanjawan Selangor 2024 dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sumber bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dan Stadium Shah Alam perlu dijelaskan selepas kosnya didakwa meningkat sehingga RM3.28 bilion iaitu lebih 90 peratus daripada rizab negeri semasa sebanyak RM3.29 bilion.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan kemampuan kewangan untuk membiayai projek pembangunan KSSA atau land swap yang pernah dinyatakan sebelum ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil maklum kos keseluruhan pembangunan KSSA dinaikkan dari RM325 juta kepada RM800 juta dan hari ini melambung naik kepada RM3.28 bilion.

“Sekiranya tidak (mampu) apakan kaedah pembiayaan termasuk nilai tanah yang terlibat dengan land swapping. Apakah kerajaan negeri mengenal pasti tanah-tanah di Klang dan Hulu Selangor untuk pertukaran tanah susulan perbincangan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan pihak terbabit pada 13 Mac lalu?

“Bagaimana pula dengan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk tanah-tanah di tapak stadium sedia ada dan nilaian tanah yang akan terlibat dengan pertukaran tanah?” soalnya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Selangor 2024 dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan stadium ikonik Selangor, Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan kira-kira 80,300 penonton tetap akan dirobohkan pada tahun ini bagi memberi laluan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju projek berkenaan, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) masih menunggu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memulakan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin dalam sidang akhbar selepas perbahasan tersebut menjelaskan, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sudah mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak terlibat untuk menentukan tanah-tanah yang akan terlibat dengan land swap.

“Kerana pada 13 Mac lalu, SUK sudah bertemu dengan pihak-pihak tertentu untuk menentukan tanah-tanah yang disebut oleh Menteri Besar, tanah di daerah Klang, Hulu Selangor tetapi sudah lapan bulan belum ada jawapan yang jelas.

“Jadi, perkara ini banyak menimbulkan keresahan dengan kos yang melambung begitu besar dan tidak ada satu kaedah pembiayaan yang tidak akan membebankan kerajaan negeri untuk menyiapkan projek tersebut.

“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan, yang penting Menteri Besar kena tampil dalam dewan untuk memberikan jawapan yang jujur dan ikhlas berfakta dan kita akan telitinya sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap kerajaan negeri dan pihak terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya