Kontraktor rugi RM417,000 ditipu sindiket pelaburan - Utusan Malaysia

Kontraktor rugi RM417,000 ditipu sindiket pelaburan

YUSHARIFUDDIN MOHD YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang kontraktor wanita terpaksa berputih mata dan mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM417,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima satu laporan dibuat oleh mangsa berusia 48 tahun berhubung kejadian itu semalam.

Yusharifuddin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa terpedaya dengan satu paparan iklan di laman sosial Facebook berhubung pelaburan berkenaan dan turut menekan pautan yang disertakan bersama.

“Mangsa kemudiannya telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi Whatsapp terdiri daripada ahli sindiket pelaburan tidak wujud tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, selepas dimasukkan dalam kumpulan Whatsapp berkenaan, mangsa turut berinteraksi menerusi aplikasi itu dan tertarik dengan pelaburan ditawarkan pihak berkenaan.

Beliau berkata, mangsa ditawarkan pelaburan bermodal serendah RM300 dan didakwa akan mendapat pulangan sebanyak RM88,000 dalam masa sehari.

“Berikutan itu, mangsa telah memasukkan wang sebanyak 80 kali transaksi bermula dari 17 Mei sehingga 16 Ogos tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, menerusi semakan awal pihaknya mendapati sebanyak 32 akaun bank telah terlibat dalam kes pelaburan tidak wujud itu.

Katanya, sehingga laporan polis dibuat semalam, mangsa belum pernah menerima sebarang pulangan daripada pelaburan yang ditawarkan tersebut.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan tanpa membuat semakan dan penilitian terlebih dahulu.

“Orang ramai boleh membuat rujukan berkaitan jenayah komersial menggunakan perkhidmatan disediakan melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya