Kolaborasi empat negara, ST12 yakin muzik Melayu tawan asia - Utusan Malaysia

Kolaborasi empat negara, ST12 yakin muzik Melayu tawan asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas bergandingan dengan Hazama menerusi lagu Harapan Tak Kunjung Usai, band Indonesia, ST12 bakal berkolaborasi dengan penyanyi dari tiga negara lain.

Menurut pemain dram ST12, Ilham Febry atau Pepep, selepas Malaysia, ST12 berhasrat membawa irama muzik Melayu ke negara lain seperti Thailand, Filipina dan Singapura.

“Melihat respons positif peminat dengan lagu baru kami bersama Hazama, ST12 menganggap ia sebagai permulaan yang baik untuk kami.

“Selepas Malaysia, kita akan meneruskan projek kolaborasi dengan artis dari negara seperti Thailand, Filipina dan Singapura.

“Cuma dalam masa terdekat, mungkin kami lancarkan sebuah lagu bersama artis Filipina.

“Menariknya, walaupun dinyanyikan dalam bahasa Inggeris, namun ia masih memiliki ciri kemelayuan dalam muziknya,” katanya.

Band tersebut ditemui Utusan Malaysia ketika majlis sidang media ST12 Live Concert In Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Pepep, projek kolaborasi ini adalah usaha band itu bergerak lebih kehadapan di samping mengkaji karakter muzik di setiap negara.

“Pihak pengurusan kami telah menetapkan hala tuju baru ST12 sebagai sebuah jenama, bukan hanya sekadar band.

“Kami selalu memerhatikan trend muzik sekarang cuma band kami belum lagi ke arah muzik ‘jedag jedug’ (dangdut).

“Namun kami sudah dapat melihat karakter muzik yang diinginkan peminat dari setiap negara dan membawakannya buat pendengar muzik asia,” tambahnya.

Sebelum ini, tiket konsert ST12 Live Concert In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur habis terjual dan dihadiri kira-kira 2,500 orang pengunjung.

ST12 membawakan lebih 20 lagu pada konsert berkenaan antaranya lagu Aku Masih Sayang, P.U.S.P.A, Rasa Yang Tertinggal, dan Putih Putih Melati yang pernah mendapat penghargaan dari Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) pada tahun 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya