KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mempertahan keputusan kementeriannya menggugurkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Katanya, ia adalah satu keputusan yang dibuat secara kolektif atau kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan.
Beliau berkata, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC), terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan-peruntukan GEG dengan memberi layanan berbeza terhadap seorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding layanan terhadap orang yang lahir selepas 1 Januari 2007.
“Oleh demikian, konsep GEG yang ingin dilaksanakan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun yang berbeza tidak kiralah tahun ditetapkan.
“Oleh itu, AGC mempunyai pandangan bahawa peruntukan boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun betul ahli Parlimen yang menggubal undang-undang dan menentukan polisi, namun pendapat dan nasihat AGC harus diambil kira dalam penggubalan mana-mana undang-undang yang akan dibentangkan supaya tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang sedia ada terutama Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sesi penggulungan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, katanya, kementerian membuat tindakan susulan demi meneruskan pembentangan RUU tersebut.
“Ini sangat penting untuk menutup kelompangan undang-undang sedia ada bagi memastikan terdapat kawal selia yang komprehensif terhadap semua produk rokok termasuk rokok elektronik atau vape dan ia menjadi keutamaan dan perlu diluluskan segera,” katanya.
Namun, katanya, penguatkuasaan lebih ketat akan menjamin keberkesanan RUU itu dalam mengurangkan prevalens merokok sepertimana dilaporkan di beberapa negara.
“Pemantauan dan penilaian bagi RUU tetap dijalankan secara berterusan dan diperkukuh walaupun peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam undang-undang ini, ia tidak bermaksud kementerian memandang ringan masalah rokok. Kita akan terus mempergiat aktiviti advokasi pencegahan rokok,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa RUU itu lebih lemah dan longgar tanpa peruntukan-peruntukan GEG.
“RUU ini adalah satu akta baharu yang membolehkan kawalan lebih menyeluruh dapat dibuat dan terdapat peruntukan tambahan seperti keperluan pendaftaran semua produk rokok, larangan penjualan dan pengiklanan produk rokok tiruan dan peruntukan situasi akut atau kritikal yang tiada dalam peraturan sedia ada,” katanya. – UTUSAN