KUALA LUMPUR: Penubuhan Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) adalah usaha PKR melakukan usaha kegiatan ekonomi untuk kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gerakan koperasi merupakan salah satu cara untuk melakukan usaha merakyatkan kegiatan ekonomi.
Kata beliau, gerakan koperasi bakal menjamin rakyat yang menentukan kegiatan ekonomi manakala pimpinan pula memberikan dorongan dan sokongan yang diperlukan.
“Tidak mahu meneruskan cara parti-parti politik yang berkuasa menggunakan kuasa memunggah kekayaan untuk kepentingan pimpinan dan parti yang mereka pimpin.
“Maka apa kaedah pilihan? Kaedah pilihan adalah menukar bentuk idea yang sudah begitu berakar pada budaya kita dan dunia dengan gerakan koperasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Makan Malam KIRA di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, malam ini.
KlIRA yang didaftarken secara rasmi di bawah Akta Koperasi 1993 pada 31 Januari 2023 dilancarkan oleh Perdana Menteri awal tahun ini.
Penubuhan KIRA menjadikan PKR parti pertama yang menjaga kebajikan ahlinya dengan memperkenalkan model perniagaan koperasi.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau berpandangan ia merupakan penerusan dan haluan idea reformasi dalam bidang ekonomi penyertaan.
Jelasnya, beliau sendiri akan melakukan pemantauan mana-mana pihak yang tidak memenuhi atau membantu menjayakan KIRA.
“Saya harap dengan permulaan ini, satu cadangan yang baik dan sudah tentu berbeza. Parti-parti politik kini tidak berfikir soal koperasi.
“Kalau dahulu zaman pra pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan awal mereka memikirkan hal-hal sedemikian. Kalau kita tengok seluruh dunia, parti-parti yang sudah matang meninggalkan isu-isu ekonomi rakyat dan menumpukan perhatian dalam soal kenegaraan dan dasar,” katanya. – UTUSAN