Kes darah tinggi, diabetes meningkat selepas pandemik Covid-19

Kes darah tinggi, diabetes meningkat selepas pandemik Covid-19

DR. ZALIHA Mustafa (tengah) ketika Majlis Pelancaran Program Madani Afiat dan Jelajah ANMS Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 di SMK Bukit Gambir, George Town, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi dan diabetes di negara ini dilapor meningkat selepas pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, situasi itu membimbangkan berikutan kedua-dua penyakit tersebut memerlukan rawatan secara berterusan.

Menurutnya, saringan terhadap sejumlah 2,701 penduduk berusia 18 tahun ke atas menerusi pelaksanaan program Madani Afiat mendapati seramai 978 individu dikesan menghidap darah tinggi manakala 681 individu menghidap kencing manis.

Jelas beliau, seramai 674 individu pula dikesan berisiko tinggi mendapat darah tinggi dan 393 individu berisiko tinggi mendapat kencing manis.

Ujarnya, saringan itu dijalankan semasa lawatan dari rumah ke rumah yang dilakukan di Selangor; Kedah; Terengganu; Johor; Perak; Melaka dan Pulau Pinang.

“Kesemua individu yang dikesan berisiko ini telah dirujuk untuk pemeriksaan lanjut dan ujian pengesahan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, di sini semalam.

Menurut Dr. Zaliha, aktiviti saringan kesihatan amat penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan awal dan pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat Malaysia makan sedap, makan manis-manis, berisiko menghidap NCD sehingga mengakibatkan komplikasi kerosakan organ penting tubuh seperti buah pinggang, mata dan jantung.

“Kami adakan program advokasi tentang literasi kepada rakyat dan akhir-akhir ini khususnya selepas pandemik Covid-19, trend kepada NCD iaitu penyakit hipertensi, kencing manis dan jantung meningkat,” katanya.

Jelas beliau, KKM menyasarkan seramai 1.5 juta penduduk menjalani saringan kesihatan sehingga hujung tahun ini.

Tegasnya, adalah penting untuk rakyat Malaysia membuat pengesanan awal supaya pencegahan dan kawalan dapat diambil segera demi mencegah lebih banyak komplikasi yang bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan diri malah ekonomi dan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×