Kerusi Marang kekal disandang Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerusi Parlimen Marang kekal milik Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Presiden Pas itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian secara sebulat suara dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyen pilihan raya Jasmira Othman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang tidak membuat perintah terhadap kos dalam rayuan tersebut.

Ketika membacakan keputusan ringkasnya, Hakim Abang Iskandar berpuas hati perayu gagal membuktikan petisyen yang difailkannya melampaui tahap keraguan munasabah.

Kata beliau, panel itu berpendapat bahawa tafsiran undang-undang dalam kes terdahulu melibatkan Wan Sagar Wan Embong adalah jelas.

Mahkamah Persekutuan pada 16 September 2008 menolak petisyen Wan Sagar yang juga bekas calon BN selepas berpuas hati petisyen yang difailkannya cacat kerana tidak menyatakan secara spesifik butir-butir amalan rasuah.

Wan Sagar memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Harun Taib bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Terengganu.

Pada prosiding hari ini, Jasmira diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Yusfarizal Yussoff berhujah bagi pihak Ahli Parlimen Marang itu.

SEBAHAGIAN peguam yang mewakili Abdul Hadi Awang keluar dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya selepas keputusan rayuan petisyen Jasmira Othman. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Terdahulu, Mohd. Hafarizam berhujah, hakim pilihan raya tersasar jauh ketika memutuskan bantuan yang dikeluarkan beberapa hari menjelang PRU15, tidak wajar menjadi subjek utama dalam petisyen berkenaan.

Peguam itu berhujah, hakim tersebut terkhilaf ketika berpendapat, elemen sogokan seperti yang didakwa dalam petisyen perlu dibuktikan melalui keterangan pengundi bahawa mereka telah dipengaruhi.

Mohd. Hafarizam memohon mahkamah mengambil kira keputusan dua petisyen lain di Terengganu yang berpendapat, apa juga pemberian wang sebelum, semasa dan selepas pilihan raya adalah bersifat sogokan.

“Terdapat video yang membuktikan situasi penyerahan wang i-Siswa dan i-Belia yang bertujuan meraih undi.

“Kami tidak mempertikaikan bantuan itu kerana ia diluluskan oleh kerajaan negeri, namun apa yang dipersoalkan ialah tempoh masa ia diserahkan. Mengapa tidak diberikan sebelum atau selepas itu?

“Bagaimanapun untuk membezakan di antara sedekah dan sumbangan apatah lagi ia diberikan dalam tempoh menjelang pilihan raya,” hujah beliau.

Sementara itu, Yusfarizal berhujah, kedua-dua bantuan kewangan itu diluluskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 15 November 2021 iaitu setahun sebelum pilihan raya.

Hujah beliau, bantuan perlu disumbangkan di antara 30 Oktober dan 30 November 2022, bukan bertujuan menyogok pengundi menjelang PRU15.

Jasmira merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyennya untuk membatalkan kemenangan Abdul Hadi bagi kawasan itu.

Pada 27 Jun lalu, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai hakim pilihan raya memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah ketika itu turut memerintahkan Jasmira selaku pempetisyen membayar kos sebanyak RM50,000.

Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu antara lain mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Jasmira mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022, iaitu beberapa hari menjelang PRU15.

Pada pilihan raya itu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab. Shukur dan calon Pejuang, Dr. Zarawi Sulong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN