Kerajaan Perpaduan ditadbir lebih tegas tahun depan - Anwar

Kerajaan Perpaduan ditadbir lebih tegas tahun depan – Anwar

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan akan dikemudi dan ditadbir dengan lebih tegas bermula tahun kedua pentadbiran khususnya dalam memartabatkan semula imej negara di mata dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, corak pentadbiran lebih jelas itu akan dapat direalisasikan dengan pimpinan dan semangat Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk diangkat martabatnya dengan tumpuan utama terhadap tatakelola dan hentikan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

“Selepas setahun, ke mana arah tuju kita? Pada tahun pertama, awalnya sedikit terumbang-ambing tetapi dengan dasar yang jelas, kita berjaya selesaikan masalah asas rakyat.

“Maka percayalah dengan mandat yang ada, tahun ini kita akan mula dengan lebih tegas, lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi segala rintangan atau cubaan merosakkan sendi negara kita dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Dengan semangat ditunjukkan pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas mengemudi negara ini, lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun lalu,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani, di sini hari ini.

ANWAR Ibrahim menunaikan solat maghrib pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Anwar berkata, beliau akui pihak pembangkang mula jemu dan mual dengan tekad Kerajaan Perpaduan yang kerap memperjuangkan tatakelola dan usaha memerangi rasuah seolah-olah dua istilah itu cukup menakutkan mereka.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan kerana dapat mempertahankan dan menghentikan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Menurutnya, ikhtiar itu antara tekad yang dipegang sepanjang setahun pentabiran Kerajaan Perpaduan dan akan diteruskan sepanjang masa.

“Sejak setahun lalu, kita memantau melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya bangga kerana keputusan kita, ikut proses tatakelola, ikut tender, bagi amaran keras, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.

“Alhamdulillah, seminggu lalu, ditanya laporan SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) serta polis, pimpinan kita dapat pertahan supaya menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Katanya, beliau juga bersyukur kerana politik negara kekal stabil sejak setahun lalu dan berharap ia kekal dalam tempoh empat tahun lagi, malah sehingga pilihan raya akan datang.

Jelasnya lagi, menjadi pemimpin bukannya sebagai tiket untuk memunggah kekayaaan, sebaliknya tugas utama adalah berkhidmat sedaya upaya dengan amanah yang diberikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya