Kementerian kesal ‘kehilangan’ RM681.71 juta wang awam 

Kementerian Kewangan kesal ‘kehilangan’ RM681.71 juta wang awam 

AHMAD Maslan bersalaman dengan orang ramai yang hadiri pada program Kesedaran Kesihatan Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sg. Pinggan Benut, Pontian, Kluang, hari ini.  - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kementerian Kewangan kesal dengan ‘kehilangan’ RM681.71 juta wang awam sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ‘kehilangan’ tersebut merugikan rakyat yang menaruh harapan supaya projek-projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut perancangan setiap kementerian.

Katanya, masalah kebocoran dan ‘ketirisan’ yang dilaporkan berlaku oleh LKAN pada setiap tahun menimbulkan banyak persoalan kerana pegawai, kakitangan dan jabatan masih orang yang sama.

“Kalau ada perubahan pun melibatkan pertukaran Ketua Jabatan, namun organisasi tersebut masih mempunyai pengurusan dan fungsi yang sama, mengapa perkara seperti berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Kesedaran Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sg. Pinggan Benut, Pontian, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr. Aljafri Abdul Majid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Laporan itu memetik Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, ia melibatkan kegagalan pengurusan program padi yang berjumlah RM660.14 juta; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta), dan pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta)

Selain itu, kegagalan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin yang berjumlah RM0.49 juta, program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat sebanyak RM0.12 juta.

“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum, kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” kata Wan Suraya.

Tambah Ahmad, berdasarkan laporan LKAN 2022, semua 26 kementerian perlu mengambil ingatan bagi perbelanjaan tahun ini di bawah Kerajaan Perpaduan supaya perkara sama tidak berulang.

“Diharap dengan teguran ini dapat membantu semua pihak melaksanakan perbelanjaan masing-masing mengikut peraturan kewangan bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau ketirisan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN