TEMERLOH: UMNO sedia berhadapan dengan siapa sahaja calon yang diletakkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman awal bulan depan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk bekas ahli UMNO yang disebut sebagai calon PN pada PRK itu nanti.
“Kita sedia hadapi siapa sahaja, sama ada bekas daripada parti kita yang mereka khianati ataupun yang telah dibatalkan kemenangannya,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan, Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, di sini, semalam.
Tambahnya, UMNO juga telah mula melakukan persediaan bagi menghadapi PRK Kemaman dan akan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen serta proses pengundian yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, ini termasuk kemungkinan sekiranya berlaku banjir ketika dalam tempoh berkempen PRK bulan depan.
Semalam, BN mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon mereka untuk PRK itu.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PN, Che Alias Hamid pada PRU15 yang dikaitkan dengan sogokan wang kepada pengundi.
Pada PRU15 November lalu, Che Alias menang kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan calon BN dan bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Said. – UTUSAN










