PETALING JAYA: Kelantan mencatatkan rekod liputan bekalan air terendah secara puratanya iaitu 73.9 peratus berbanding negeri lain di Semenanjung yang merangkumi penduduk bandar dan luar bandar, diikuti Terengganu, 96 peratus dan Pahang sebanyak 98 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Mohd. Fazil Ismail berkata, ini kerana masih ada penduduk di Kelantan memilih sistem bekalan air persendirian seperti air bawah tanah.

“Secara amnya, 97.1 peratus penduduk di luar bandar dan bandar akan mendapat bekalan air terawat dan hanya 2.9 peratus yang tidak mendapat liputan bekalan air,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, prestasi bekalan air untuk setiap negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinilai berdasarkan sebahagian petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu Liputan Bekalan Air, Kualiti Air Terawat, Rizab margin, Tekanan Air dan Kadar Air Tidak Terhasil ( Non-Revenue Water NRW).
Menurutnya, berdasarkan Water and Sewerage Fact Book 2022, negeri yang mempunyai kadar NRW yang tinggi adalah Perlis iaitu 61.5 peratus diikuti Kelantan (53.7 peratus), Kedah (51.5 peratus) dan Pahang (47.7 peratus) manakala negeri yang mempunyai rizab margin yang rendah ialah Kedah (0 peratus), Kelantan (3.9 peratus), Melaka (4.7 peratus) dan Perlis pada 8.4 peratus.
Tambahnya, kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang melaksanakan inisiatif dalam pengurangan dalam kadar NRW dan meningkatkan rizab margin terutamanya bagi negeri-negeri yang mempunyai rizab margin rendah.
Jelasnya seperti isu bekalan air di Kelantan, di bawah program pengurangan NRW, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang melaksanakan projek penggantian paip lama jenis Asbestos Cement (AC) sepanjang 4,006 km di seluruh Kelantan dengan anggaran kos sebanyak RM1,389.58 juta melalui peruntukan pinjaman Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB).
Mengulas lanjut, Mohd. Fazil berkata, secara umumnya, bekalan air terjejas atau gangguan bekalan air boleh dikategorikan kepada dua iaitu gangguan bekalan air berjadual yang mana berlaku apabila operator air membuat penyenggaraan loji rawatan air, penggantian peralatan di loji rawatan air atau penggantian paip.
Seterusnya, beliau berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual seperti berlaku akibat pencemaran sumber air, paip pecah, atau kerosakan peralatan di loji rawatan air.
Mengulas isu banjir, Fazil berkata, secara amnya, musim banjir akan memberi impak kepada program pengurungan kadar Air Tidak Terhasil yang mana melambatkan kerja-kerja penukaran paip dan meter air. Selain itu, katanya, loji rawatan air di kawasan banjir juga berkemungkinan perlu dihenti tugas dan air mentah tidak dapat dirawat untuk disalurkan kepada pengguna. –UTUSAN









