Kejar ranking universiti sudah tidak relevan

Kejar ranking universiti sudah tidak relevan

PIMPINAN universiti tempatan perlu terbuka untuk diganti jika gagal membawa perubahan kepada institusi yang dipimpin. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar ranking QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa kerana pendekatan tersebut tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap penanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Lebih membimbangkan, penarafan tersebut dilakukan oleh sebuah badan swasta bersifat komersial, bukan ilmiah dan bebas sekali gus seolah-olah menunjukkan pendidikan adalah barang dagangan yang mudah dijual beli

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, wujud percanggahan antara ranking dikeluarkan QS dengan badan bebas UNU dari segi soal ketelusan kaedah penarafan dan kualiti data.

Katanya, malah, wujud konflik kepentingan terhadap aktiviti penarafan yang dilakukan pihak bukan ilmiah berkenaan dengan UNU.

“Ranking tidak pernah rele­van kerana setiap universiti berbeza dan mempunyai silibus sendiri. Ranking bukan satu acu­an untuk semua seperti yang dibawa oleh QS yang bersifat ‘aIa agenda dunia Barat’ yang menakluki ilmu. Ia satu bentuk penjajahan minda.

“Ia (budaya ranking) bermula dengan sebuah universiti tempatan. Namun, tokoh akademik, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz pernah tidak setuju dengan amalan ini, jadi, kita terjerat (dengan ranking) sehingga kini,” katanya.

Semalam, Dzulkifli menerusi kolum dalam akhbar ini membangkitkan persoalan terhadap budaya ranking kerana terbukti kurang memuaskan dan bermasalah apabila mempunyai kelemahan setelah penarafan mengikut logik keuntungan dan bukannya ilmu.

Malah, beliau berpandangan amalan tersebut bersifat penjajahan dan tidak seimbang serta melencong daripada hala tuju penubuhan sebuah universiti untuk melahirkan modal insan berilmu dan beradab.

Kata Dzulkifli, sesebuah institut pendidikan tidak boleh dibandingkan yang mana lebih berjaya serta mengaut keuntu­ngan dan kekayaan.

Sebaliknya kata beliau, universiti perlu lebih anjal dan bersendikan insaniah.

“Oleh sebab itu, UIAM me­rangka model baharu yang kembali kepada tujuan asal sesebuah universiti dengan kerjasama UNU di Tokyo, Jepun. Ia berpusat kepada memanusiawikan pendidikan untuk rahmatan lil alamin bagi kebajikan sejagat. Bukan sektor-sektor tertentu sahaja seperti hari ini.

“Pendidikan lihat sebagai faktor menyamaratakan masya­rakat tidak di mana atau untuk siapa. Bukan mengaut keuntu­ngan dan kekayaan. Insya-Allah ia lebih anjal, lebih luwes dan bersendikan insan (fitrah) bukan hanya teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Maj­lis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, semua universiti diingatkan agar tidak terlalu tertaksub dan rakus mengejar ranking sehingga lupa asal usul penubuhan universiti untuk melahirkan graduan berkualiti dan memiliki modal insan.

Katanya, tidak dinafikan ranking amat penting untuk melihat sejauh mana pematuhan penarafan sesebuah institusi pendidikan dengan piawaian antarabangsa, namun, perkara itu bukan segala-galanya untuk mengukur kejayaan sesebuah universiti.

“Ranking sering dilihat pihak luar untuk mengukur kualiti universiti, tetapi, pentadbiran universiti jangan letak 100 peratus terhadap ranking ditetapkan sehingga lupa tujuan dan objektif universiti itu sendiri.

“Namun, tidak boleh tolak asas dan fundamental penarafan universiti kerana ia juga penting untuk melihat piawaian antarabangsa, bagaimanapun jangan sehingga masing-masing terlalu masing-masing,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN