'Kehidupan di penjara banyak mengajar saya'

‘Kehidupan di penjara banyak mengajar saya…pembebasan ini hadiah bermakna sempena Deepavali’

VIJAY bersama adiknya, J. Manimaran (kanan) selepas dibebaskan lebih awal untuk menyambut perayaan Deepavali menerusi program PBSL Ihsan Madani di Penjara Pulau Pinang, George Town, semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sambutan Deepavali tahun ini lebih bermakna buat Vijay, 40-an, apabila dapat meraikan perayaan itu bersama ahli keluarga.

Vijay yang dibebaskan menerusi pelaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani cukup bersyukur kerana terpilih dalam program itu.

Vijay merupakan salah seorang daripada 11 penghuni Penjara Pulau Pinang yang diberi pelepasan semalam menerusi PBSL sempena sambutan Deepavali.

“Saya akan menjaga ibu dan adik…dan bertekad untuk tidak mengulangi kesalahan lampau bagi memulakan hidup baharu.

“Saya ingin bersama keluarga dan kehidupan di penjara banyak mengajar saya dan saya mahu menjadi orang baharu selepas bebas,” katanya ketika ditemui di pekarangan Penjara Pulau Pinang, di sini semalam.

Sementara itu, adik Vijay, J. Manimaran, 29, berkata, kepulangan abangnya ke pangkuan keluarga amat dinantikan ibu mereka, M. Vathavalli, 64, yang kini sedang terlantar sakit di rumah.

Manimaran yang berasal dari Perai dekat sini berkata, abangnya itu sepatutnya dibebaskan Februari tahun depan, namun mereka amat bersyukur kerana Vijay dibebaskan lebih awal menerusi program PBSL Ihsan Madani.

”Ibu saya selalu bertanya mengenai abang dan dia amat gembira selepas mengetahui abang saya dibebaskan semalam,” katanya.

Menurut Manimaran, tahun lalu sambutan Deepavali bagi mereka sembilan beradik agak suram kerana abangnya berada di penjara.

”Saya berharap abang akan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya selepas dibebaskan lebih awal untuk memulakan hidup baharu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pulau Pinang, Mohammad Safwan Sizali berkata, menerusi PBSL itu seramai enam OBB diserahkan kepada keluarga, tiga kepada majikan dan selebihnya dihantar ke rumah perantaraan di Melaka dan Jawi.

”Kita beri peluang kepada banduan yang terpilih seperti yang berdisiplin  untuk dibebaskan lebih awal untuk kita latih mereka kembali ke pangkuan masyarakat

“Kita harapkan mereka akan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan mereka pada masa lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN