KUALA LUMPUR: Bekas Senator, Tan Sri M. Kayveas gagal mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan pelantikan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Amarjeet Singh dan disampaikan kepada pihak-pihak terlibat melalui emel.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan peguam, Syereen Tang yang mewakili Kayveas ketika dihubungi media.
Pada 7 Julai lalu, Kayveas memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai responden pertama dan kedua.
Berdasarkan permohonan yang difailkan, antara lain mendakwa, alasan tindakan pegawai daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri, Badrul Hisham Alias, mewakili responden pertama meluluskan rayuan myPPP melalui surat bertarikh 11 April lalu adalah salah di sisi undang-undang.
Beliau mendakwa, kedua-dua responden gagal mengambil kira bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-67 yang diadakan pada 19 Mac lepas yang mana Maglin telah dilantik sebagai Presiden MyPPP adalah tidak sah berikutan 13 individu yang hadir pada mesyuarat itu telah dilucutkan keahlian mereka berkuat kuasa pada 25 April 2018.
Oleh itu, Kayveas memohon membatalkan keputusan melalui surat bertarikh 11 April lalu yang meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran parti tersebut. MyPPP dibatalkan pendaftarannya pada 14 Jan 2019.
Pada 19 Mac lalu, MyPPP melantik Maglin sebagai Presiden baharu selepas beliau menang tanpa bertanding pada pemilihan parti ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Selain itu, bekas calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 itu juga memohon deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 19 Mac lalu adalah tidak sah.
Beliau turut memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Maglin sebagai Presiden MyPPP adalah tidak sah kerana melanggar perlembagaan MyPPP.
Bagaimanapun, Maglin, 67, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini pada 17 November lalu. – UTUSAN