Kastam Perak patahkan cubaan seludup rokok putih, kretek bernilai RM2.13 juta - Utusan Malaysia

Kastam Perak patahkan cubaan seludup rokok putih, kretek bernilai RM2.13 juta

ABDUL Ghafar Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan rokok putih dan kretek yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Pantai Remis dan Sitiawan minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas lebih 2.69 juta batang rokok putih dan kretek seludup dengan nilai cukai keseluruhan RM2.13 juta dalam dua serbuan berasingan di Pantai Remis dan Sitiawan, Khamis lalu.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, serbuan pertama pada pukul 10.15 pagi itu dilakukan Cawangan Penguatkuasa JKDM Stesen Taiping di kawasan rumah terbiar di Pantai Remis.

Katanya, serbuan dibuat selepas risikan dijalankan dalam tempoh seminggu di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di rumah tinggal itu menjumpai 127,200 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama disimpan di bahagian ruang tamu rumah.

“Nilai cukai rampasan itu dianggarkan berjumlah RM100,907.40 yang disyaki merupakan barang belum lulus kastam,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di Taman Meru 2B, di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan kedua pada pukul 1.30 petang oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Lumut, sebanyak 2,568,470 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama.

Katanya, serbuan tersebut dijalankan di sebuah rumah dalam kawasan komuniti berpagar di Sitiawan.

“Rampasan itu membabitkan nilai cukai berjumlah RM2,032,372.21,” ujar beliau.

Tambah Abdul Ghafar, tiada suspek yang ditahan dalam serbuan itu dan kesemua eksibit dirampas untuk siasatan.

“Kita sedang mengenal pasti pemilik kedua-dua rumah itu bagi mengesan dalang sindiket penyeludupan berkenaan.

“Berdasarkan risikan, rokok tersebut dipercayai diseludup melalui jalan laut dari Indonesia dan Vietnam untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, JKDM Perak berjaya merekodkan sebanyak 424 kes membabitkan rampasan bernilai lebih RM11.6 juta sejak Januari lalu hingga November ini.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 250 kes melibatkan frod perdagangan dan 174 kes pula ialah frod dokumentasi membabitkan pelbagai komoditi berjaya dikesan.

“Lebih 6.6 juta batang rokok putih dan kretek dirampas selain 21,460 liter minuman keras, 40 kenderaan, 101.97 gram dadah dan 15 botol air kanabis,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya