SEREMBAN: Penduduk Gaza tidak lagi memerlukan wang selepas hampir semua kawasan di Semenanjung itu musnah dibedil bom rejim Zionis Israel.
Seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, Dr. Wesam Almahallawi berkata, beliau ada berhubung dengan ahli keluarganya di Gaza untuk menghulurkan bantuan terutama wang tetapi mereka mengatakan tidak memerlukannya lagi walaupun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman.
“Saya ada bertanya kepada keluarga yang tinggal jika mereka memerlukan wang. Namun, mereka kata segala-galanya telah musnah di bandar dan tiada apa yang boleh dibeli,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, gencatan senjata perlu dilaksanakan di Gaza dengan segera bagi menghentikan lebih ramai rakyat Palestin dibunuh rejim tersebut.
Menurutnya, beliau sendiri kehilangan 19 ahli keluarga termasuk adik lelakinya yang terkorban dalam serangan bom rejim Zionis pada 25 Oktober lalu.
Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Nilai itu juga masih trauma dengan kejadian yang berlaku selain mengenangkan nasib ibu, bapa dan adik-beradik lain yang masih berada di Gaza.
“Adik saya, Waleed Almahallawi, 40, juga pelajar doktor falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di USIM.
“Dalam kejadian tersebut, serangan bom telah memusnahkan bangunan kediaman yang dihuni oleh keluarga saya dan kira-kira 200 orang lagi penduduk Gaza,” katanya.
Beliau sudah berada di Malaysia sejak 2015 ketika mengikuti pengajian PhD di Universiti Malaya (UM) dan mula mengajar di USIM empat tahun lalu.
Wesam memberitahu, antara ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan itu adalah adik lelaki, ibu saudara, sepupu dan anak saudara termasuk seorang kanak-kanak yang baru berusia dua tahun.
Katanya, ibu, bapa, adik lelaki dan dua orang adik perempuannya terselamat dalam serangan bom tersebut, namun sangat sukar untuk beliau menghubungi mereka.
“Saya perlu menunggu berhari-hari untuk mereka membalas mesej saya kerana Israel menghentikan semua rangkaian telefon dan internet di Gaza.
“Setakat ini sudah empat hari saya tidak menerima apa-apa berita daripada adik perempuan saya yang berada di utara Gaza,” katanya.
Wesam yang masih sedih dengan kejadian yang berlaku berkata, keadaan kehidupan di Gaza sangat sukar terutama bagi ibu bapanya yang sudah tua iaitu berusia 65 dan 68 tahun.
“Mereka terpaksa berpindah dari satu rumah ke rumah lain yang masih tidak dimusnahkan oleh tentera zionis.
“Setiap malam, mereka berdoa agar dapat hidup keesokan harinya kerana serangan bom boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya sambil menambah serangan bom di Gaza oleh tentera zionis menjadi lebih kerap di waktu malam.
Dalam pada itu, USIM sebagai sebuah Universiti Awam (UA) melaksanakan kutipan derma bagi Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusian Kepada Rakyat Palestin yang dilancarkan pada 13 Oktober lalu.
Menurut Pusat Komunikasi Strategik USIM, setakat ini jumlah kutipan yang terkumpul bagi tabung tersebut ialah RM16,693.27 dan kutipan akan diteruskan seperti biasa selepas 10 November 2023 melalui Tabung USIM Palestin. – UTUSAN










