KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memantau syarikat penerbangan supaya dapat mematuhi jadual penerbangan yang ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penangguhan tersebut berlaku, termasuklah faktor cuaca.
“Ada perkara yang di luar kawalan, contohnya macam mana nak kawal cuaca, kalau cuaca tidak baik, kapal terbang macam mana nak terbang? Jadi itu perlu difahami, bukan syarikat penerbangan sengaja melewat-lewatkan penerbangan mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Oscar Ling Chai yew (PH-Sibu) dalam soalan tambahan meminta kerajaan menjelaskan tindakan kerajaan terhadap syarikat penerbangan yang tidak mematuhi jadual yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, bagaimanapun Loke berkata, beliau bersetuju bahawa beberapa penambahbaikan perlu dibuat supaya masalah ini tidak berterusan.
”Saya setuju ada banyak perkara perlu ditambah baik dan perbaiki, bukan sahaja syarikat penerbangan tapi juga lapangan terbang, kita juga kena ketahui bahawa pengurusan trafik udara ini juga bukan bawah syarikat penerbangan.
“Jadi kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kita akan cari satu pendekatan bagaimana meletakkan satu sasaran kalau mereka tidak dapat capai, mungkin ada tindakan yang akan diambil. memang kita akan pantau syarikat penerbangan dapat uruskan jadual dengan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN










