TEMERLOH: Kerajaan negeri meminta Felda mengkaji semula cadangan mewujudkan ketua peneroka di semua 115 rancangan di negeri ini sekiranya mendatangkan lebih keburukan dan pertembungan kepentingan dalam masyarakat Felda.
Ketua Peneroka akan mengetuai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) manakala Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dilantik kerajaan negeri setelah rancangan berkaitan mendapat surat hak milik tanah.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu itu dalam penelitian Pengerusi Felda setelah mendapat bantahan pemimpin peneroka Felda di negeri ini.
“Bagaimanapun kita lihat pro dan kontra, kalau baik kita tubuh tetapi kalau menimbulkan lebih banyak masalah, kita dan pihak berkenaan akan mengkaji semula. Bantahan pemimpin peneroka khususnya daripada Ketua Kampung Felda (Pengerusi JPKK) Pahang mendorong kita meminta Pengerusi Felda kaji semula cadangan penubuhan JKKR di rancangan di Felda Pahang.
“Kalau ‘benda’ itu akan beri masalah, kita tidak akan teruskan manakala yang datang kebaikan kita akan teruskan demi kebaikan masyarakat Felda,” katanya selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Tanah kepada 152 Peneroka Felda Jengka 25 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Exco Kerajaan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Kontroversi wujud apabila Felda mengarahkan pemilihan Ketua Peneroka sekali gus akan mewujudkan JKKR sedangkan kebanyakan rancangan Felda di Pahang sudah ada Ketua Kampung (Pengerusi JPKK) yang dilantik kerajaan negeri.
Menurutnya, daripada 115 rancangan Felda di Pahang, tidak sampai lima peratus sudah menerima surat hak milik tanah membabitkan seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka Felda di Pahang.
Katanya, hanya tinggal 2,265 peneroka yang masih belum menerimanya lagi dan mereka akan menerima hak secara berperingkat-peringkat.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menjadi penimbang tara kerana prinsipnya masyarakat peneroka Felda Pahang menikmati kehidupan selesa dan makmur.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy terkilan dengan sikap sebilangan peneroka Felda yang melupakan jasa Kerajaan Negeri Pahang yang membuka pintu kepada semua peneroka dari semua negeri. – UTUSAN