Kabinet setuju sebahagian dana kutipan bantu pelajar, keluarga Palestin

Kabinet setuju sebahagian dana kutipan bantu pelajar, keluarga Palestin

AHMAD Zahid Hamidi menyempurnakan perlepasan penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Ops Ihsan di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ribuan pelajar Palestin yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara akan dibantu kerajaan Malaysia termasuk tanggungan kos sara hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet semalam.

“Beliau bersetuju sebahagian daripada lebih RM100 juta kutipan dana dilakukan kerajaan diberikan kepada pelajar dan keluarga Palestin di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perlepasan penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Ops Ihsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Ia melibatkan pelbagai barangan seberat 20 tan daripada keseluruhan 50 tan yang berjaya dikumpul 44 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk mangsa perang di Gaza.

Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin dilancarkan oleh Kementerian Luar pada 18 Oktober susulan konflik berdarah di Gaza akibat serangan rejim Zionis sejak 7 Oktober.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bantuan khas kepada pelajar Palestin itu ekoran keprihatinan pihak kerajaan mengenai nasib mereka yang terputus sumber kewangan.

“Selama ini mereka dibiayai ibu bapa namun tidak lagi sejak krisis Gaza disebabkan ada keluarga yang telah tiada akibat pengeboman atau punca pendapatan terputus,” jelasnya.

Senarai lengkap mengenai nama pelajar terbabit ujar beliau, akan dikemukakan oleh pihak Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur terus kepada Wisma Putra untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, beliau mewakili kerajaan turut berterima kasih kepada seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang yang memberikan sumbangan kepada tabung Palestin.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada duta-duta daripada beberapa negara sahabat terutama negara Islam yang menunjukkan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya