ALOR SETAR: Impak kemerosotan pelancong ke Langkawi seperti dilaporkan kebelakangan ini turut menyebabkan pengusaha kecil di sekitar Jeti Kuala Kedah, di sini turut terkena ‘tempias’ apabila mereka bergantung kepada penumpang feri untuk menghidupkan ekonomi setempat.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jeti Kuala Kedah mendapati, aktiviti ekonomi di kawasan itu amat sederhana kerana rata-rata penumpang yang baru tiba dari Langkawi atau ingin menaiki feri ke sana hanya menjadikan kawasan itu sebagai lokasi transit.
Walaupun terdapat gerai-gerai makan, kedai runcit dan pelbagai perkhidmatan lain di sekitar kawasan itu namun ia lebih banyak bergantung kepada penduduk tempatan dan berhampiran.
Perkara itu diakui seorang pengusaha tempat meletak kenderaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, 45, yang memaklumkan mereka sepenuhnya bergantung kepada penumpang feri yang ingin ke Langkawi sebagai pelanggan setiap hari.
“Senang cakap kalau tak ada orang nak pergi Langkawi maka Kuala Kedah pun akan sunyi kerana macam tempat meletak kenderaan ini memang pemiliknya kena parkir untuk ke sana, barulah kami dapat pelanggan.
“Boleh dikatakan kalau bukan musim cuti memang tempat parkir kami yang boleh menempatkan ratusan kenderaan pada satu-satu masa lebih banyak kosong dan ia hanya akan meningkat pada hari-hari cuti tetapi tidaklah selalu tinggi,” katanya ketika ditemui semalam.
Jeti Kuala Kedah yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat bandar Alor Setar merupakan salah satu pintu masuk pelancong dan penduduk ke Langkawi melalui perkhidmatan feri yang mengambil masa antara satu jam 30 minit ke dua jam.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, banyak faktor yang mempengaruhi jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi antaranya promosi pakej pelancongan oleh pihak Kementerian Pelancongan, sistem pengangkutan laut dan udara, serta musim percutian dan pameran antarabangsa.
“Memang tidak dinafikan bahawa sektor pelancongan merupakan antara penyumbang besar penjanaan ekonomi negeri dan kawasan setempat, mahupun di peringkat Persekutuan yang memerlukan perhatian semua pihak.
“Sama ada trend menaik atau menurun bilangan pelancong ke Langkawi, ianya juga akan memberi kesan kepada Kuala Kedah, terutama aktiviti-aktiviti perniagaan kecil sekitar pekan Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, projek menaik taraf Jeti Kuala Kedah yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini diharapkan dapat mengubah landskap infrastruktur maritim pekan Kuala Kedah serta menjadi hab pintu masuk pelancong antarabangsa ke negeri ini.
“Sebenarnya kawasan Parlimen Kuala Kedah menawarkan banyak destinasi pelancongan seperti pelancongan masakan laut, Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Padi, rekreasi santai Gunung Keriang dan mudik sungai Anak Bukit.
“Terdapat beberapa lagi tempat baharu destinasi pelancongan yang perlu diterokai oleh pihak berkaitan antaranya Telaga 7 di Telok Bulang dan Gua Batu Kapur yang memiliki kolam di Gunung Keriang yang belum dibangunkan,” katanya. – UTUSAN









