BAKAL meraikan ulangtahun ke-30 penubuhan tahun hadapan, perintis Eastern Oi! Malaysia, Kumpulan A.C.A.B bakal menampilkan showcase khas Bangun bagi meraikan satu-satunya rilisan yang berlatarkan bahasa melayu setelah tampil dengan beberapa rilisan berbahasa inggeris sebelum ini.
Tidak dinafikan kumpulan yang bermula aktif sejak tahun 1994 ini merupakan antara pelopor dan pencetus fenomena muzik Eastern Oi! di Malaysia malah kesungguhan mereka dalam memperjuangkan genre ini perlu diberikan pujian setelah berjaya menghimpun peminat tegar dari pelbagai lapisan usia dan bangsa.
Berada dalam kelas tersendiri, A.C.A.B berjaya mencipta jenama dan identiti tersendiri, malah lagu berjudul Skinhead 4life yang diterbitkan pada tahun 2001 sekali gus berjaya mengangkat nama kumpulan ini ke seluruh dunia sehinggakan lagu tersebut dijadikan cover song oleh beberapa kumpulan dari Eropah serta Amerika Latin.
Penyanyi dan pemain gitar utama, Megat Hafiz atau Max Mohammad, 45, berkata, showcase ini merupakan sesi ‘pemanas badan’ dan ‘buah tangan’ buat peminat setia mereka sebelum menjayakan siri konsert yang lebih ‘mega’ pada waktu akan datang.
“Kami mempunyai peminat dan penyokong yang ramai di seluruh dunia, malah ada band dari luar negara yang mengiktiraf lagu-lagu kami dengan membawakannya dalam setiap persembahan mereka, buktinya boleh lihat di YouTube. Showcase ini kami yang rancang untuk anjurkan khusus buat peminat yang setia menyokong perjuangan kami,” katanya pada sidang media Bangun Showcase 2023 sempena 30 tahun A.C.A.B di Timeless Studio, khamis lalu.
Menurutnya, pada showcase yang akan berlangsung Ahad nanti, A.C.A.B bakal mempersembahkan sembilan buah lagu dari album Bangun dengan sebuah lagu berkonsepkan metal serta lima lagu klasik daripada album terdahulu.
“Pada persembahan itu nanti kami turut menyanyikan lagu-lagu berdasarkan permintaan peminat yang hadir pada hari itu. Kami akan minta crowd pilih sendiri lagu apa yang mereka inginkan,”
“Kami tak sabar untuk persembahkan showcase Bangun ini buat pertama kalinya kepada peminat kerana waktu album ini keluar pada 2004, saya ke United Kingdom sambung belajar dan tidak sempat untuk promosikan walaupun dapat sambutan hangat,”
“Jadi sempena 30 tahun A.C.A.B tahun hadapan, kami nak raikannya secara live bersama peminat dan make it a history for everyone!,” ujarnya.
Berdepan dengan masalah penganjur dan tajaan bukanlah penghalang utama bagi mereka untuk mengadakan persembahan. Meletakkan usaha sebagai tunjang utama, A.C.A.B percaya sokongan peminat adalah segalanya, dan berharap apa yang direncanakan bakal menjadi kenyataan.
“Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara boleh memuatkan lebih kurang 600 orang dalam satu masa, alhamdulillah sehingga kini sudah lebih separuh tiket yang telah terjual. Kami tidak letak target banyak, jika yang datang 400 atau 500 orang pun sudah memadai,” ujarnya.
Selain A.C.A.B, showcase ini juga dimeriahkan oleh beberapa buah kumpulan generasi baharu Oi! dan Punk antaranya, The Hard Crop’s, Zero One Heroes, Incase, The Murphys, Combination 69, The Boicott, Oi! Frequency dan juga set DJ daripada Soul Boss.
Showcase anjuran A.C.A.B Productions dengan kerjasama Timeless Studio ini akan berlangsung di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 3 Disember, pukul 3 petang.
Selain Max, kumpulan ini turut dianggotai, Edy J. Herwan (gitar), Anas Md Noor (bass) dan Zeezul Fitri (dram).
Kepada peminat yang ingin mendapatkan tiket menyaksikan persembahan mereka pada 3 Disember ini boleh layari: acab.ubertickets.asia, Instagram: acabmalaysia atau whatsapp di talian: 019- 6955634.