Jentera BN henti kempen, bantu penduduk jika berlaku banjir   

Jentera BN henti kempen, bantu penduduk jika berlaku banjir   

Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) akan menghentikan kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman secara serta-merta sekiranya berlaku banjir di kawasan Parlimen tersebut.

Pengerusi Media UMNO Bahagian Kemaman, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, semua jentera parti juga akan digerakkan bagi membantu penduduk yang terlibat banjir.

“Kalau tiba-tiba esok berlaku banjir di DUN Air Putih dan menjejaskan 5,000 orang penduduk, kita akan hentikan semua kempen serta merta dan bantu rakyat.

“Kita akan kerahkan semua jentera untuk bantu rakyat, itu yang utama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Setakat ini, daerah Kemaman merupakan antara daerah yang belum dilanda banjir gelombang pertama yang berlaku di Terengganu sejak Isnin lalu. 

Wan Abdul Hakim berkata, BN sering mengutamakan kebajikan rakyat dan sudah menjadi kebiasaan jentera parti itu turun padang membantu mangsa banjir setiap tahun. 

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Pas yang mendakwa BN melanggar peraturan pilihan raya pada kempen tersebut, Wan Abdul Hakim berkata, parti tersebut boleh membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya mempunyai bukti. 

“Kalau nak lapor pun, biarlah, kita tidak mempunyai masalah,” katanya. 

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang dicabar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Abd. Hamid pada September lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN