ALOR SETAR: Rancangan kerajaan Thailand untuk membina pelabuhan serta jambatan darat yang akan memendekkan perjalanan kapal hingga tidak perlu melalui Selat Melaka, dijangka membawa cabaran baharu serta memberi kesan besar terhadap ekonomi dan aspek kompetitif negara.
Justeru menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengambil inisiatif untuk meneliti perkara tersebut.
Katanya, beliau tidak berniat untuk menghadirkan perasaan ‘gerun’ atau ‘gentar’ berhubung usaha dijalankan negara jiran, namun perkara itu perlu diberi perhatian meskipun ada pihak berpendapat pelaksanaan projek itu masih terlalu lama untuk dilaksanakan.
“Ini perkara biasa dalam geopolitik kerana setiap negara mempunyai perancangan strategik masing-masing. Apa yang diusahakan negara jiran bukanlah seperti Terusan Suez sebaliknya jambatan darat yang akan melancarkan perjalanan dari Ranong dan Chumphon.
“Dari sudut kita mungkin merasakan perkara itu sebagai sesuatu yang membawa kekurangan kepada negeri ini namun dari sudut positif, langkah negara itu juga mungkin mampu meningkatkan nilai kompetitif kita,” katanya.
Haim Hilman (PN-Jitra) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) dalam sesi pertanyaan mulut di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai kesan perancangan itu kepada negeri ini di masa hadapan.
Ketika lawatan kerja ke Sadao, Thailand kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, idea projek yang dibangkitkan semula rakan sejawatnya, Srettha Thavisin itu akan turut memberi faedah kepada Malaysia, namun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu termasuk membuat keputusan untuk terlibat secara langsung.
Sementara itu, ujar Haim Hilman, ketika ini jarak antara Bukit Kayu Hitam ke Ranong yang terletak di Barat Thailand sejauh 563 kilometer dan mengambil masa kira-kira lapan jam pemanduan, manakala dari Ranong ke Chumphon di Timur negara itu pula mengambil masa kira-kira dua jam.
“Dari segi logistik, eksport dan sebagainya, mungkin tak nampak kelebihannya buat kita tetapi jika projek itu direalisasikan, kerajaan Thailand mungkin akan turut menambah baik prasarana di Selatan Thailand dengan membina lebuh raya dan sebagainya.
“Jika itu berlaku, tempoh perjalanan sudah tentu menjadi lebih singkat dan kita mungkin boleh mengambil manfaat darinya. Barang dagangan kita mampu sampai ke sebelah sana dunia dengan lebih pantas melalui jalinan perhubungan baharu diwujudkan Thailand dalam projek ini,” katanya.
Mengulas perkara yang mungkin berlaku terhadap pelabuhan-pelabuhan sedia ada di negara ini, Haim Hilman berkata, apa yang berlaku itu merupakan satu isu geopolitik yang perlu dibincangkan bersama atas semangat ASEAN.
“Perkara ini harus sama-sama kita beri tumpuan dan perkembangan baharu ini cukup menarik untuk diperhalusi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) berhubung potensi pembinaan sebuah jeti integrasi di Kuala Sanglang seperti yang pernah dirancang sebelum ini bagi kemudahan nelayan serta urusan import eksport, Haim Hilman berkata, setakat ini masih tiada jawapan sejauh mana impak pembangunan projek tersebut.
“Jika dibangunkan, saya nampak jeti itu ada potensi tetapi perkara itu perlu kajian menyeluruh. Cabaran terbesar adalah pendanaan dan kita perlu dapatkan projek berbentuk Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi membangunkan infrastruktur dimahukan. Dalam dunia sekarang, segalanya adalah tentang kepantasan bertindak dan ini antara perkara perlu diberi perhatian,” katanya. –UTUSAN