Jalan enam lorong hubungkan CIQ Sadao baharu ke ICQS Bukit Kayu Hitam

Jalan enam lorong hubungkan CIQ Sadao baharu ke ICQS Bukit Kayu Hitam

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) turut mengiringi Anwar Ibrahim yang bersama Srettha Thavisin melakukan lawatan kerja ke Sadao, Thailand dan Bukit Kayu Hitam. -PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand akan direalisasikan dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter. 

Menurut beliau, perkara itu dicapai hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan kedua-dua negara atas jemputan rakan sejawat beliau di Thailand, Srettha Thavisin, semalam.

“Kerajaan Malaysia dan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan agar projek ini dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesalinghubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

“Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu ini, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan. 

“Pada masa yang sama, jalan baharu ini dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, projek jalan itu turut melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Rejimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan pagar keselamatan yang terkesan daripada jajaran tersebut.

Semalam, Alexander turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja sehari itu antaranya melawat Kompleks CIQ Sadao; ICQS Bukit Kayu Hitam, mesyuarat dua hala, makan tengah hari yang dihoskan Srettha serta meninjau tapak titik pertemuan projek jajaran jalan berkenaan.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memuktamadkan sebarang rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh dua minggu.

Menurut Anwar, ianya penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung Malaysia dan selatan Thailand itu sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN